Peluang BN rampas Kelantan cerah jika tiada 'Cah Keting' - Tengku Razaleigh
Oleh Nur Syuhada Shamsudin dan Sharifah Hunaini Syed Ismail
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bergambar) -- Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih cerah untuk merampas Kelantan daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi isu 'cah keting' atau sabotaj boleh menjadi penghalang, kata veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya UMNO Kelantan, sebagai parti utama BN di negeri ini, yang diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed kini semakin kuat dan mendapat sokongan, malah keinginan rakyat negeri itu untuk melakukan perubahan semakin ketara.
"UMNO bukan sahaja kuat seperti masa dulu tapi sudah bertambah kekuatan, semangat pun tinggi sekarang.
"Cuma tinggal masalah 'cah keting'. Kalau boleh dikurangkan dan tak berlaku langsung saya rasa untuk kita (BN) rampas Kelantan dari tangan PAS memang baik. Rakyat pun nak kepada perubahan itu, nampaknya rakyat (Kelantan) di Kuala Lumpur pun sanggup balik untuk membantu," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.
Tengku Razaleigh, 81, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan akan bertanding sekali lagi dalam PRU14 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang diwakilinya sejak 11 penggal yang lepas berkata budaya cah keting masih menjadi duri dalam daging, penghalang UMNO Kelantan merampas negeri itu, yang dikuasai PAS sejak 28 tahun lalu.
Jelasnya, berbanding dahulu, cah keting atau perbuatan sabotaj parti kini masih lagi berlaku namun lebih licik menggunakan pelbagai platform termasuk media sosial.
"Semua orang bercita-cita tinggi untuk naik (dapat jawatan), tak suka orang lain mendahului dia dan sebagainya," katanya.
Mengulas mengenai senario politik Kelantan, bekas Menteri Kewangan itu berkata perpecahan dalam kalangan pakatan pembangkang PAS, PKR dan DAP, menyaksikan PAS kini bergerak sendirian.
Kewujudan parti serpihan PAS, Amanah turut memberi kesan kepada PAS tetapi ia bukan satu kelebihan untuk UMNO dan BN, katanya.
"Sekarang ini PAS berpecah dan perpecahan PAS itu bukan menguntungkan UMNO dari segi penghijrahan anggota-anggotanya dari PAS ke UMNO. Ada pun sikit-sikit, barangkali setengah peratus atau satu peratus.
"Tetapi penghijrahan (anggota PAS) kepada parti Amanah atau berdiam diri dan tidak aktif lagi ada berlaku. Oleh kerana itu PAS jadi lemah dan kalau dulu ada kekuatan yang 'solid' dan bersatu tetapi dengan perpecahan, dia (PAS) jadi kurang (lemah)," katanya.
-- BERNAMA