Van dihiasi 70 bendera, poster calon BN curi perhatian pengundi Jeli
Oleh Azli Shafii
JELI, 2 Mei (Bernama) -- Seorang pesara tentera menampilkan kelainan untuk menarik perhatian masyarakat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menghiasi van miliknya menggunakan 70 bendera Barisan Nasional (BN) pelbagai saiz di sekitar Jeli.
Mohd Nasir Mustapa, 59, turut menampal poster calon BN bagi kerusi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta dua lagi calon BN iaitu Datuk Adhan Kechik bagi kerusi DUN Bukit Bunga dan Datuk Abdul Aziz Derashid di kerusi DUN Kuala Balah.
"Walaupun hanya mengibarkan bendera dan melekatkan poster di van, saya berbangga kerana ini akan memberi kesan dalam usaha memperkenalkan calon BN kepada pengundi di Parlimen Jeli dan tiga DUN di dalam kawasan ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Nasir berkempen dengan memasuki kampung serta tempat tumpuan awam sekitar kawasan parlimen berkenaan seperti kawasan membeli-belah Bukit Bunga, pasar, hentian bas dan teksi.
"Kos minyak untuk kenderaan saya disumbangkan oleh orang perseorangan dan menggunakan wang milik saya," katanya.
Dalam keghairahannya berkempen membantu calon BN itu terdapat kalangan rakannya yang tidak menyukai pendekatan itu malah menganggap beliau "gila" namun tidak dipedulikannya kerana mengenangkan banyak jasa kerajaan BN kepada rakyat.
Beliau berharap pengundi akan keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 9 Mei ini.
-- BERNAMA