Masyarakat Cina perlu pastikan ada wakil dalam kerajaan BN - MCA




SEREMBAN, 2 Mei (Bernama) -- Masyarakat Cina haruslah bijak menggunakan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk meletakkan wakil mereka dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat dan negeri, kata Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan kepentingan dan apa sahaja permasalahan masyarakat itu dapat diputuskan secara bersama.

"Perlu ada wakil kaum Cina dalam kerajaan (BN) pusat dan negeri untuk membuat dasar dan keputusan bersama. Sebagai contoh, kerajaan Negeri Sembilan sekarang diwakili oleh 21 orang wakil rakyat Melayu daripada UMNO dan seorang wakil kaum India (MIC)... wakil rakyat kaum Cina dalam kerajaan negeri tidak ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Santai Bersama Pesara Kawasan Parlimen Seremban anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Cawangan Negeri Sembilan dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di sini, hari ini. Turut hadir Presiden KUPKKM yang juga Pengerusi Yayasan Pesara Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat.

Oleh itu, katanya kemenangan calon MCA dan Gerakan dalam PRU14 ini akan membolehkan wakil kaum Cina berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita memerlukan sokongan lebih kukuh daripada masyarakat Cina bagi memastikan kelangsungan komuniti itu terus terjamin di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Tidak lengkap tanpa wakil kaum Cina dalam barisan Kabinet dan Exco negeri," katanya.

Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan yakin bahawa sokongan pengundi kaum Cina sudah kembali kepada MCA dan Gerakan selepas mereka dimanipulasi dan dipengaruhi oleh dakyah pembangkang sebelum ini.

Katanya masyarakat Cina tidak boleh lagi tertipu dengan propaganda pembangkang khususnya DAP dan menggesa masyarakat itu tidak memperjudikan masa depan dengan memilih pembangkang dalam PRU14 pada 9 Mei ini.

Pada PRU14 ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kawasan Parlimen Seremban antara Chong dan penyandang kerusi itu Loke Siew Fook (PKR-DAP) dan Shariffuddin Ahmad (PAS).

-- BERNAMA