Wanita BN akan perhebat kempen




Gambar fail

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LANGAT, 2 Mei (Bernama) -- Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) menerusi jentera Jalinan Rakyat (JR) akan memperhebatkan kempen mereka pada hari-hari terakhir menjelang pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, "pecutan" pada saat-saat akhir itu penting untuk menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap BN oleh Pakatan Harapan (PH).

"Di beberapa hari sebelum hari mengundi, kami, Wanita BN melalui jentera JR akan mempergiatkan lagi program berjumpa dengan pengundi di kawasan masing-masing bagi memberi penerangan berkaitan isu semasa dan menangkis segala tohmahan yang dilempar," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata demikian pada program tinjauan mesra di Taman Kemuning bersama calon-calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Rozana Kamarulzaman dan Parlimen Kuala Langat Shahril Sufian Hamdan.

Shahrizat berkata, program turun padang memberikan penerangan kepada pengundi telah dimulakan sejak awal lagi, namun akan dipergiatkan menjelang hari pengundian berikutan tindakan PH meningkatkan penyebaran fitnah dan berita palsu bagi mengelirukan pengundi.

Shahrizat berkata beliau amat berpuas hati dengan gerak kerja dan komitmen yang ditunjukkan jentera Wanita BN Kuala Langat sepanjang lima hari berkempen ini.

"Wanita BN Kuala Langat telah memberikan jaminan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada semua calon BN di sini," katanya.

Menurut Shahrizat, beliau akan memastikan BN menunaikan semua janji dalam manifestonya jika mendapat mandat membentuk kerajaan negeri dan persekutuan dalam PRU14 nanti.

Pada PRU14, kerusi DUN Morib bakal menyaksikan Rozana ditentang penyandang kerusi itu Hasnul Baharuddin daripada PKR-Amanah dan calon PAS, Dr Mohammad Sallehuddin Hafiz .

Hasnul menang di DUN Morib pada pilihan raya lepas ketika menjadi calon PAS.

Shahril Sufian pula bakal berdepan Dr Xavier Jayakumar daripada PKR dan Datuk Dr Yahya Baba daripada PAS dalam usaha BN untuk merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi oleh calon PKR Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pada pilihan raya lepas.

-- BERNAMA