Pengundi Bukit Gantang kecewa dengan wakil rakyat pembangkang




Oleh NADIA JUMRI

BUKIT GANTANG, 2 Mei (Bernama) -- Pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gantang kecewa di atas kegagalan pembangkang membawa pembangunan ke kawasan itu sejak dua penggal lalu, jauh sekali memahami denyut nadi rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Kampung Kampung Pauh, di sini, Mohd Farid Mohd Ali, 47, berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal perlu diberi sokongan padu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, katanya, Syed Abu Hussin Hafiz yang merupakan anak tempatan dari Kampung Kota Barat dan juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang adalah calon yang sentiasa memahami kehendak rakyat.

"Harapan saya kali ini mahu BN menang kerana apa yang saya harap selama dua penggal daripada pihak pembangkang tidak dapat dan ia menyukarkan saya untuk memaklumkan kepada penduduk setempat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

PRU14, Syed Abu Hussin Hafiz akan ditentang Datuk Khadri Khalid (PKR-PPBM) dan penyandang kerusi Parlimen berkenaan Idris Ahmad (PAS).

Sementara itu, Malina Ibrahim, 34, berkata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering iaitu Ahmad Saidi Mohamad Daud yang merupakan anak tempatan adalah seorang yang cukup dikenali dan datang daripada keluarga yang cukup dihormati masyarakat setempat.

"Saya mahukan anak tempatan yang duduk sini supaya dia boleh tahu segala permasalahan kami selain menjenguk kami di samping mewujudkan peluang pekerjaan," katanya yang merupakan rakan sekolah calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri di sini.

Bagi penduduk Taman Changkat Desa, yang hanya mahu dikenali sebagai Song Thye, 61, beliau berkata satu pembaharuan perlu dilakukan bagi membela nasib anak cucu pada masa depan.

"Semasa kempen pilihan raya lepas, kita nampak dia selepas itu setiap kali jamuan raya setahun sekali saja dia ada dan selepas itu hilang," katanya.

Pada PRU13, kerusi Changkat Jering dimenangi bekas Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang bertanding atas tiket PAS sebelum beliau melompat menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) dan pada PRU kali ini beliau akan bertanding di DUN Sungai Rapat dalam Parlimen Gopeng.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong dengan jumlah keseluruhan pengundi seramai 69,873 orang.

-- BERNAMA