KSN nasihat penjawat awam keluar mengundi 9 Mei ini





KUALA TERENGGANU, 2 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sekali lagi mengingatkan semua penjawat awam agar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

"Saya harap semua penjawat awam keluarlah mengundi pada 9 Mei ini dan tunaikan tanggungjawab anda," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Jualan Sentuhan Rakyat di tapak tempat meletak kereta Batas Baharu di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya merangkap Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Puan Sri Rohani Abdullah, Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu Ali memuji inisiatif kerajaan menerusi KPDNKK yang telah mewujudkan program Jualan Sentuhan Rakyat di seluruh negara yang menawarkan harga barangan keperluan harian jauh lebih rendah dari tempat lain.

Program itu dilihat mendapat sambutan yang positif daripada orang ramai sekali gus membuktikan kerajaan prihatin terhadap masalah peningkatan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat ketika ini.

"Saya difahamkan 200 program seumpama ini telah dilaksanakan di seluruh negara yang dilihat begitu bermanfaat kepada semua termasuk kepada penjawat awam, golongan B40 dan lain-lain.

Diharapkan program ini akan diteruskan dan menjadi program rutin di seluruh negara dan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri bagi menjayakannya," katanya.

Ali dan isteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari dan Program Ziarah Kebajikan ke Terengganu turut melawat Hospital Sultanah Zahirah dan menyampaikan sumbangan Puspanita kepada pesara kerajaan dan penjawat awam OKU.

-- BERNAMA