Pengundi di Setiawangsa mahu BN terus tadbir kawasan





KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pengundi di kawasan Setiawangsa mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mentadbir kawasan itu berdasarkan rancangan pembangunan kerajaan BN sejak penggal lepas.

Tinjauan Bernama di kawasan Setiawangsa mendapati pelbagai pembangunan dan kemudahan awam yang disediakan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, sekali gus membawa kemajuan di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Hafizrullah Nakibullah, 36, berkata BN Setiawangsa menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk di kawasan itu termasuk Projek Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika), Pusat Internet 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, khidmat tuisyen dan kelas keagamaan.

"Klinik 1Malaysia beroperasi sejak empat tahun lepas turut dibina bagi memudahkan penduduk di perumahan ini menikmati akses perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti. Usaha mewujudkan klinik itu menunjukkan kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik dalam menyediakan kemudahan atau perkhidmatan serta meringankan beban rakyat.

"Kemudahan pusat tuisyen bagi pelajar ingin mendapatkan khidmat bimbingan mata pelajaran tertentu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di sini. Kelas tuisyen di perumahan ini mempunyai kira-kira 25 pelajar dengan empat tenaga pengajar subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Hafizrullah berkata BN Setiawangsa turut mendengar permasalahan penduduk di PPR itu berhubung kesesakan ruang parkir dengan membina parkir bertingkat yang mampu memuatkan kira-kira 600 kenderaan penduduk di kawasan perumahan itu.

Beliau berkata aspek keagamaan turut menjadi tunjang utama bagi BN Setiawangsa apabila menyalurkan sumbangan bagi tujuan membina surau lebih besar dan mampu memuatkan 1,000 jemaah di PPR Seri Semarak yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Penduduk Setiawangsa, Siti Mariyani Hussin, 41, berkata beliau turut melahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan BN di kawasan itu kerana memberikan sumbangan kewangan kepada anak-anak yang berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran termasuk anaknya.

"Bantuan kewangan itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa daripada keluarga berpendapatan sederhana bagi menampung kos kemasukan anak-anak di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Ramai juga penduduk di sini menerima sumbangan kewangan apabila anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah termasuk anak saya baru-baru ini berjaya melanjutkan pelajaran di IPT," kata ibu kepada empat anak itu.

Seorang lagi penduduk, Fauziah Jamal, 32, berkata perkhidmatan Bantuan Bas Sekolah Percuma yang disediakan Kementerian Wilayah Persekutuan dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar khususnya penduduk dalam kalangan berpendapatan rendah.

"Bantuan ini dapat meringankan beban tanggungan kami sekeluarga terutamanya kos pengangkutan untuk ke sekolah. Sebelum inisiatif ini diperkenalkan, kami terpaksa membiayai kos pengangkutan seperti menyewa van yang boleh mencecah sehingga RM200 sebulan untuk seorang anak.

"Jika anak saya (tiga orang) semua bersekolah dan menyewa perkhidmatan van itu sudah tentulah kewangan kami sedikit terjejas memandangkan pendapatan kami suami isteri tidak begitu besar untuk menampung kos pengangkutan itu," katanya.

Isnin lepas, BN Setiawangsa melancarkan manifesto PRU14 berteraskan empat perkara bagi meneruskan ideologi 'Jiwa Setiawangsa' iaitu struktur, sejahtera, sihat dan selamat.

Keempat-empat teras itu diperkasakan melalui inisiatif seperti bidang keusahawanan, pendidikan, perumahan, agama, sukan, keselamatan, komuniti serta remaja dan wanita.

-- BERNAMA