Calon 'bidan Terjun' PKR tidak memahami isu setempat - Gerakan




GEORGE TOWN, 2 Mei (Bernama) -- Tindakan PKR meletakkan calon 'bidan terjun' yang tidak memahami isu-isu setempat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat seperti 'memperbodohkan' pengundi di kawasan itu.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Pantai Jerejak Oh Tong Keong berkata lawannya calon PKR Datuk Saifuddin Nasution merupakan orang Kedah dan sebelum ini tidak pernah turun untuk membantu ketika penduduk di kawasan itu dilanda banjir tahun lepas.

"Tindakan itu seolah-olah 'memperbodohkan' pengundi di sini kerana wakil rakyat susah nak jumpa selepas menang PRU," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow dan calon BN DUN Batu Uban Hng Chee Wey di sini, hari ini.

Oh yang juga naib pengerusi Gerakan negeri berkata Saifuddin bertanding dua kerusi iaitu kerusi DUN Pantai Jerejak di sini dan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah dan pastinya tidak mampu berkhidmat untuk rakyat di berlainan negeri.

Kerusi DUN Pantai Jerejak akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Oh, Saifuddin, calon Parti Bersama Malaysia (MU) David Yim Boon Leong dan calon PAS Mohd Farhan Yusri.

Sementara itu, Teng yang juga calon BN DUN Tanjong Bunga, berkata isu wakil rakyat PKR susah dihubungi ini bukan perkara baharu kerana mereka sentiasa menurunkan calon-calon 'bidan terjun'.

"Dalam PKR, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak sehaluan akan digugur seperti mana yang berlaku kepada ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen, Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T. Jayabalan (Batu Uban) kerana dilihat tidak sehaluan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng," katanya.

Katanya calon-calon BN merupakan anak kelahiran setempat atau penduduk tetap negeri ini dan pastinya tidak akan timbul isu ketidakhadiran sekiranya mereka diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat pada PRU14 ini.

-- BERNAMA