Penduduk Semporna perlu hargai jasa BN - UMNO
SEMPORNA, 2 Mei (Bernama) -- Penduduk Semporna perlu mengenang dan menghargai jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan kawasan Parlimen itu selama ini, kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
Beliau berkata di bawah kerajaan BN, Semporna menerima pelbagai pembangunan infrastruktur manakala penduduknya terutama daripada golongan memerlukan menikmati pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.
"Selepas ini, akan ada pembinaan jambatan Pulau Bum Bum dan naik taraf jalan raya serta pembinaan sekolah baharu dan bermacam lagi bentuk bantuan dan pembangunan," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabogan di sini, hari ini.
Nasir berkata pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini penduduk Semporna perlu memilih BN untuk kebaikan bersama dan pembangunan berterusan.
"Pada 9 Mei ini, pengundi perlu membuat penilaian positif demi masa depan, jangan mencuba perubahan cukup pengalaman serik sewaktu kerajaan pembangkang memerintah," katanya.
-- BERNAMA