Pemimpin tempatan kecewa PPBM namakan calon luar




Oleh Suhainie Mohd Khalid

JOHOR BAHRU, 2 Mei (Bernama) -- Tindakan kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengenepikan sebahagian Ketua Bahagian parti itu di negeri ini sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menimbulkan rasa kecewa dan kurang senang dalam kalangan pemimpin terbabit.

Hal itu diakui Anggota Jawatankuasa Penerangan PPBM Johor Shukur Mohamad.

"Memang ada yang merajuk kerana tidak dicalonkan. Mereka ini (Ketua Bahagian) bukan menolak parti (PPBM) tetapi rasa dipinggirkan setelah lebih setahun bekerja keras di peringkat bahagian masing-masing," katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Baru-baru ini, PPBM di negeri ini dikatakan bergolak akibat 15 Ketua Bahagian parti itu marah dan kecewa dengan pucuk pimpinan kerana tidak terpilih menjadi calon.

Daripada 26 orang Ketua Bahagian PPBM di Johor, hanya 11 daripada mereka dicalonkan untuk bertanding iaitu empat bertanding di bahagian sendiri manakala tujuh yang lain bertanding di luar kawasan.

Terdapat 17 calon yang dipilih bukan daripada kalangan Ketua Bahagian yang menyebabkan Ketua Bahagian dikatakan marah sedangkan mereka memainkan peranan dari awal termasuk mencari anggota dan menggerakkan parti selain berhabis modal berkempen.

Antara Ketua Bahagian yang bertanding di luar kawasan mereka adalah Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (Ketua Bahagian Parit Sulong bertanding di Parlimen Pasir Gudang), Solihan Badri (Ketua Bahagian Ledang di Dewan Undangan Negeri Tenang) dan Zais Mohd Akil (Ketua Bahagian Johor Bahru di DUN Semarang).

Mereka yang bertanding di kawasan sendiri pula antaranya Mazlan Bujang (Ketua Bahagian Tebrau di DUN Puteri Wangsa) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Ketua Bahagian Pagoh di Parlimen Pagoh dan DUN Gambir).

Shukur berkata sebagai seorang yang lantang bersuara, beliau sendiri turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan berpandangan bahawa pemimpin tertinggi membuat percaturan silap dalam memilih calon.

"Isu ini sudah berlegar dua minggu lepas, namun, saya sendiri kemudian akur dengan keputusan pucuk pimpinan atas strategi parti. Saya berpandangan isu ini sudah tidak timbul lagi ketika ini kerana kita lihat Ketua-Ketua Bahagian yang kecewa itu sudah turun padang membantu calon berkempen," katanya.

Shukur turut mengakui beliau ada berjumpa dan memujuk beberapa Ketua Bahagian tersebut atas arahan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Manusia ini ada keinginan masing-masing (untuk bertanding) tetapi apabila diletakkan calon 'payung terjun' (calon luar) tentulah ada yang marah dan kecewa. Akur atau tidak akur, kita terpaksa akur demi kepentingan parti," katanya.

Bekas Penyelaras PPBM Kluang Arjuna Putra Ali pula menegaskan kepemimpinan tertinggi PPBM sepatutnya memilih calon berdasarkan faktor demografik anak tempatan dan bukannya memilih calon luar.

Arjuna Putra yang pernah mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan PPBM jika benar parti itu bermasalah dan tidak mengikut peraturan berkata PPBM akan hancur disebabkan faktor kroni dan nepotisme yang berleluasa dalam parti itu.

"Sebagai salah seorang anggota PPBM yang mempunyai locus standi, sudah pasti saya berasa amat marah dan kecewa dengan kemelut yang berlaku di dalam PPBM. Saya antara individu terawal yang menggerakkan PPBM bermulanya dengan gerakan Gabungan Anak Muda Melayu Bersatu (GAMB) dan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM)," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Kassim Thukiman berkata PPBM perlu menerima hakikat bahawa sebagai sebuah parti baru, ramai kalangan pemimpinnya berminat dan melobi untuk menjadi calon.

"Disebabkan PPBM adalah parti baharu, jadi, ia belum cukup masa hendak tentukan pemilihan calon yang terbaik. Terdapat rebutan di beberapa kawasan misalnya, di Pasir Gudang, Mersing dan Sri Gading dan terdapat juga beberapa nama pemimpin dari bahagian lain berpindah kawasan," katanya ketika dihubungi.

Kassim berkata dalam menghadapi pilihan raya besar, PPBM sepatutnya perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti ketokohan dan penerimaan calon di kawasan masing-masing selain manifesto serta isu-isu utama di peringkat DUN dan Parlimen yang akan menentukan kemenangan atau kekalahan calon.

"PPBM perlu menyemak populariti dan ketokohan calon di sesebuah kawasan DUN atau Parlimen. Jelas, PRU adalah medan bagi rakyat untuk merealisasikan semangat demokrasi dalam memilih pemimpin dan parti yang terbaik untuk Johor dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Md Akbal Abdullah pula menyifatkan langkah kepimpinan tertinggi PPBM dan Pakatan Harapan tidak meletakkan calon tempatan merupakan strategi parti itu untuk memenangi PRU14.

Beliau berkata tindakan mengetengahkan calon muda seperti Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di kerusi Parlimen Muar menunjukkan pembangkang sedar perlunya orang baharu berbanding pemimpin 'kitar semula' di kawasan itu.

"PPBM sedar, bila letak Ketua Bahagian bertanding di kawasan sendiri, mereka tidak boleh 'pergi'. Jadi, kena letak orang luar bertanding. Walaupun dahulu Ketua Bahagian ini parti lain (UMNO) dan kini PPBM, tetapi mereka ini orang yang dikitar semula di dalam kawasan," katanya.

-- BERNAMA