Sokongan peneroka Felda terhadap BN masih kukuh - Shahrir
BENTONG, 2 Mei (Bernama) -- Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yakin lebih 90 peratus peneroka daripada 112,000 peneroka di lebih 320 tanah rancangan di seluruh negara masih kukuh menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata Shahrir berkata hasil beberapa langkah yang dilakukan oleh pihak Felda dan kerajaan, kalangan masyarakat Felda yang mungkin terpengaruh dengan dakyah pembangkang untuk membenci kerajaan telah sedar dan kembali pulih menyokong BN.
"Saya agak positif jika hendak dilihat kepada aspek sokongan dan hasil beberapa perkara yang telah kita betulkan di dalam Felda termasuk bantu mereka dalam soal menyusun semula hutang peneroka, menyediakan kemudahan serta membuat gerakan Muafakat Felda dengan mengajak mereka kembali (menyokong ) agensi itu.
"Ia mencapai tahap sokongan sehingga 93 hingga 94 peratus daripada keseluruhan peneroka, sokongan kepada Felda ini merupakan asas sokongan kepada kerajaan pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita elepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Orang Ramai Felda Chemomoi, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, Felda sudah menyusun semula geran tanaman semula peneroka di samping menyusun semula struktur hutang peneroka hingga berjaya mengurangkan sehingga 70 peratus hutang mereka.
"Kalau kita nak kira, jumlah hutang paling besar adalah membabitkan hutang sara hidup peneroka dan ia boleh dikurangkan melalui perolehan hasil tanaman yang diusahakan. Itu mereka tidak pernah nikmati sebelum ini," katanya.
Katanya Felda menyediakan RM60 juta setahun untuk lima tahun bagi membantu golongan peneroka melupuskan hutang peneroka.
Menyentuh tentang isu projek perumahan generasi kedua Felda, Shahrir berkata sebenarnya setakat ini sebanyak 8,474 unit rumah sedang disiapkan, namun daripada jumlah itu 1,734 unit membabitkan 11 projek dikesan berdepan masalah. seperti gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
"Felda sudah melantik syarikat perunding untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
-- BERNAMA