Ribuan di ceramah Pakatan Harapan bukan dari Titiwangsa - Johari
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Ribuan orang ramai yang hadir ke ceramah Pakatan Harapan yang turut dihadiri pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Desa Pandan semalam tidak menggambarkan sokongan sebenar pengundi Parlimen Titiwangsa.
Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kebanyakan mereka yang hadir adalah pengundi luar yang tinggal berhampiran dengan kawasan Parlimen itu.
Johari berkata beliau ada menghantar beberapa wakil ke perhimpunan semalam untuk menyiasat sama ada mereka benar-benar penduduk dari sini atau dari luar.
"Tapi, rata-ratanya yang datang dari Bukit Bintang, Cheras, Batu, Segambut sebab lokasi Parlimen Titiwangsa strategik di kelilingi kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang dan mereka datang itu nak ambil peluang tengok Tun M (Dr Mahathir) sahaja, malah penyokong-penyokong PAS tidak nampak.
"Apapun, saya tidak akan ambil mudah dan akan terus jelajah Titiwangsa untuk jelaskan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama masyarakat Minang di Keramat, di sini hari ini.
-- BERNAMA