Niat Dr Mahathir untuk baiki kesalahannya hanya retorik - calon PAS





KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa beliau ingin memperbetulkan kesilapannya kerana menaikkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri hanyalah retorik semata-mata, kata calon PAS Parlimen Titiwangsa Mohamad Noor Mohamad.

Katanya beliau tidak fikir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu benar-benar mengakui kesilapannya jika melihat kepada semua kesilapan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

"Saya tak fikir dia benar-benar sedar yang dia buat kesilapan. Jadi kemaafan apa sebenarnya.

"Kalau rakyat beri peluang semula kepada dia, dia akan mengulangi kesilapan 22 tahun yang lalu dan rakyat akan terus menderita serta dizalimi," katanya pada sidang media khas calon PAS Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Beliau juga turut menyeru rakyat supaya tidak terperdaya dengan apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir.

"Saya harap jangan percayalah...mungkin dia pun tidak berapa ingat apa yang dia sebutkan," tambahnya.

Semalam, di ceramah mega pakatan pembangkang di Desa Pandan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir memohon maaf di hadapan penyokong-penyokong PKR kerana menaikkan Najib sebagai perdana menteri.

-- BERNAMA