Dakwaan biasiswa pelajar dikurangkan satu penipuan - Pemuda BN Sabah





KOTA KINABALU, 2 Mei (Bernama) -- Dakwaan pihak pembangkang dalam siri kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mereka bahawa kerajaan negeri Sabah telah mengurangkan peruntukan untuk bantuan biasiswa pelajar adalah satu penipuan.

Ketua Sekretariat Manifesto Orang Muda Pemuda BN Sabah Datuk Armizan Mohd Ali berkata Sabah adalah antara negeri di Malaysia yang menyediakan peruntukan biasiswa yang tertinggi.

Malah, beliau berkata komitmen kerajaan negeri dalam aspek penyediaan peruntukan terhadap pembangunan pendidikan rakyat di Sabah ini sentiasa meningkat saban tahun.

"Sebagai contoh, bagi tahun semasa 2018 sahaja, kerajaan negeri Sabah dan agensinya telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 71.7 juta untuk sumbangan biasiswa dan dermasiswa. Jumlah ini tidak termasuk dana pendidikan dalam bentuk pinjaman, program pembangunan pelajar dan infrastruktur.

"Kita berharap warga Sabah, khususnya generasi muda tidak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang yang jelas adalah propaganda politik dan tidak bersandarkan kepada fakta," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Armizan berkata kerajaan di bawah pentadbiran BN sentiasa memahami dan mendengar aspirasi generasi muda, antaranya, resolusi Kolokium Manifesto Orang Muda anjuran Pemuda BN Sabah pada 17 Jan lalu yang menyeru kerajaan pusat dan kerajaan negeri meningkatkan dana pembangunan pendidikan dan latihan orang muda.

"Kita bersyukur kerana di peringkat negeri, Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman telah mengumumkan komitmen untuk menambah peruntukan biasiswa dan dermasiswa yang menjadi salah satu teras Agenda Melonjakkan Pembangunan Modal Insan dalam Manifesto 20 Komitmen BN Sabah bagi PRU14.

"Kita yakin berdasarkan 'track record' dan kedudukan kukuh kewangan dan pendapatan negeri, komitmen ini akan dilaksanakan sebaik sahaja BN mendapat mandat baharu daripada masyarakat Sabah," katanya.

-- BERNAMA