Pengalaman terajui Wanita UMNO Bahagian lancarkan kempen di kubu PAS





KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Walaupun pertama kali bertanding, Ketua Wanita UMNO Kota Bharu Madihah Abd Aziz yang merupakan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), serasi menggunakan pendekatan 'jupo mato' untuk bertemu pengundi.

Bertentang mata dengan pengundi dalam kumpulan kecil menjadikan santunan Madihah, 58, yang sudah menerajui sayap wanita bahagaian itu selama tiga tahun lebih peribadi dan dirasai pengundi.

Madihah yang bakal berdepan pertandingan tiga penjuru calon wanita di kerusi itu akan dicabar Dr Hafidzah Mustakim (PKR-Amanah) dan penyandang DUN itu Rohani Ibrahim (PAS), nampak yakin dalam mengatur strateginya walaupun DUN Tanjong Mas merupakan kubu kuat PAS.

Memasuki hari kelima tempoh berkempen, Madihah terus komited mendekati pengundi sehingga ke akar umbi termasuk mengadakan pertemuan dengan guru-guru di 45 buah sekolah dalam DUN berkenaan.

Fokus kempen Madihah kelihatan lebih terarah kepada golongan wanita memandangkan jumlah pengundi golongan berkenaan di DUN Tanjong Mas adalah besar iaitu 16,000 daripada keseluruhan 32,114 orang.

"Kita harap golongan wanita akan membantu BN menang di DUN ini pada PRU14," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Konsultasi Ibu Bapa Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 3 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai saingannya, beliau berkata walaupun PAS memenangi DUN itu dalam tempoh yang lama sebelum ini, tiada perubahan ketara dapat dilihat dan dinikmati pengundi di kawasan berkenaan.

Sementara, katanya kehadiran calon PKR-Amanah yang muncul semata-mata untuk pilihan raya tidak akan memberi cabaran besar kepada BN sebaliknya akan membantu memecahkan undi PAS sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Pada PRU13, PAS yang diwakili Rohani memenangi kerusi DUN tersebut dengan memperoleh 15,387 undi (majoriti 8,521) menewaskan calon BN Kanidy Omar yang mendapat 6,866 undi.

-- BERNAMA