DAP diminta hentikan politik perkauman - Khairul





BAGAN DATUK, 2 Mei (Bernama) -- Pemimpin DAP yang dilihat lantang menyemarakkan api perkauman ketika berceramah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diminta menghentikan tindakan itu kerana ia hanya mengeruhkan hubungan baik antara kaum di negara ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata pihaknya menerima pelbagai laporan berhubung budaya politik samseng pemimpin DAP yang dilihat keterlaluan termasuk menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) sewaktu kempen.

"Pemimpin DAP sudah menunjukkan tingkah laku biadap dengan menggalakkan keganasan dan membakar api perkauman.

"Kita mempunyai bukti terhadap apa yang diperkatakan oleh pemimpin DAP sewaktu berkempen dan mereka memperkecilkan orang Melayu dan mengakui memperkudakan beberapa pemimpin Melayu demi kepentingan politik mereka," katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Menurutnya pemimpin DAP seperti Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Hew Kuan Yau atau dikenali sebagai Superman Hew dilaporkan sudah beberapa kali menggunakan kata-kata kesat dan hasutan untuk menarik undi masyarakat Cina.

Malah, katanya, provokasi yang berlaku di Yong Peng, Johor, baru-baru ini jelas membuktikan bahawa politik samseng yang dibawa oleh pemimpin dan jentera DAP harus ditolak rakyat.

"Lihat sahaja insiden di Yong Peng, seorang warga emas yang juga anggota MCA dipukul dan ditolak oleh petugas DAP di sana dan insiden itu berlaku semasa majlis BN kerana individu tersebut sekadar bertindak menurunkan bendera PKR di atas pentas milik BN," katanya.

Beliau berkata pemimpin DAP yang terlampau perlu menyedari bahawa mereka tidak sepatutnya memainkan api perkauman dan merosakkan keharmonian dan hubungan baik kaum semata-mata untuk berkuasa.

-- BERNAMA