BN Johor Bahru lapor polis pengedaran risalah fitnah
JOHOR BAHRU, 2 Mei (Bernama) ? Barisan Nasional (BN) Johor Bahru hari ini membuat laporan polis berkaitan penyebaran risalah oleh pihak pembangkang, yang dikatakan berbaur fitnah bertujuan memburuk-burukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha BN Johor Bahru Abu Talib Alias berkata laporan ini dibuat selepas pihak pembangkang melanggar kata sepakat bersama yang dibuat sebelum ini untuk tidak menggunakan bahan kempen yang berunsur negatif dan menghasut rakyat.
"Laporan polis ini dibuat selepas kita mendapati terdapat usaha penyebaran risalah-risalah berbaur fitnah di kawasan perumahan Taman Pelangi iaitu di bawah Dewan Undangan Negeri Stulang (N45).
"Risalah tersebut diedarkan bersama risalah calon N45 Stulang dari PKR, Andrew Chen Kah Eng yang tertera penerbit bahan adalah DAP Malaysia.
"Pada tiga hari lepas, kita telah berjumpa dengan Andrew sendiri untuk membuat kata sepakat untuk tidak menggunakan bahan-bahan kempen yang mempunyai unsur-unsur negatif," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini, ditemani oleh Peguam BN Johor Bahru Akmal Saufi Mohamed Khaled.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais, mengesahkan menerima laporan tersebut.
-- BERNAMA