BN mampu menang di Indera Kayangan - Azlan Man
KANGAR. 2 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan selain mempertahankan empat lagi DUN dan Parlimen Kangar.
Menteri Besar yang juga ketua UMNO bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man berkata kekeliruan dalam kalangan ahli terutama jentera pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bahagian itu tercetus pada awal pengumuman nama calon namun telah dapat diatasi.
"Kekeliruan itu bukan sabotaj atau mainan dari dalam tetapi kelompok-kelompok yang menyuarakan rasa tidak puashati apabila calon yang diinginkan tidak tercalon menyebabkan mereka marah.
"Keadaan kini telah pulih dan nampak positif. Saya tidak akan tinggalkan walau sedikit ruang yang boleh menghalang kita menyapu bersih semua kerusi dalam Parlimen Kangar," katanya semasa sembang santai dengan pengamal media di Perlis di sini, hari ini.
Calon BN bagi Parlimen Kangar, Ramli Shariff dan calon DUN Kuala Perlis, Datuk Azam Rashid turut hadir.
Katanya, walaupun majoriti pengundi Indera Kayangan adalah 53 peratus Melayu dan 47 peratus bukan Melayu tetapi pengundi Melayu pecah dua menyebabkan BN tewas kerusi tersebut pada PRU13.
DUN Indera Kayangan merupakan kerusi gelap kerana dikuasai PKR namun seluruh jentera BN dikerah melipatgandakan usaha untuk merampas kerusi tersebut yang pertama kali jatuh kepada pembangkang pada PRU13, kata Azlan.
Mengenai dirinya sebagai calon DUN Bintong, Azlan berkata isu tersebut tidak besar malah pengundi boleh menerima sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan.
Dalam isu lain, beliau berkata Tun Dr Mahathir membuat pusingan kerana tuntutan politik semasa.
Beliau mempunyai satu agenda sahaja iaitu mahu anaknya menjadi perdana menteri, kata Azlan.
-- BERNAMA