Tiada sebab penduduk Kudat tolak BN - Abdul Rahim
KUDAT, 2 Mei (Bernama) -- Tiada sebab penduduk Kudat menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kerajaan telah membawa banyak pembangunan untuk memajukan seluruh kawasan itu sejak dahulu lagi, kata calon BN kerusi Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Beliau berkata telah terbukti bahawa kerajaan yang diterajui BN telah melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan Kudat yang sudah semestinya memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya dalam bidang ekonomi.
"Ini adalah sesuatu (pembangunan) yang kita tidak boleh nafikan...bertubi-tubi pembangunan dilaksanakan di Kudat ini, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas dan Banggi.
"Kalau kita imbas kembali pembangunan itu, kerajaan telah melaksanakan projek Agropolitan di Banggi. Projek itu telah memajukan kawasan itu dengan potensi pertanian seperti tanaman getah selain program pembangunan masyarakat miskin serta miskin tegar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini yang turut di hadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, calon BN DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail dan calon BN DUN Tanjong Kapor, Datuk Teo Chee Kang.
Abdul Rahim berkata kerajaan sebelum ini juga telah memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf sistem bekalan air di Pulau Banggi, selain menaik taraf Jalan Karakit yang sudah tentu memberi manfaat penduduk di Kawasan itu.
Beliau berkata, kerajaan BN sentiasa memastikan seluruh kawasan di Kudat membangun seiring dengan kawasan-kawasan lain.
"Kudat pada satu ketika dahulu terkenal dengan masalah air. Namun semua masalah ini telah diatasi apabila kerajaan telah membina Empangan Milau. Grid sistem elektrik juga telah dipertingkatkan dan yang terbaru kerajaan telah meluluskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Tuaran ke Kudat yang menelan belanja kira-kira RM1.5 bilion.
"Apabila jalan ini siap kelak sudah tentu ia akan merancakkan ekonomi penduduk di sini...sudah tentu sektor pelancongan juga akan melonjak dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sini," tambahnya.
Abdul Rahim berkata pembangunan juga rancak dijalankan di kawasan DUN Pitas dengan pelbagai projek telah dilaksanakan untuk memastikan penduduk di kawasan itu tidak ketinggalan dari segi pembangunan.
"Selain pelaksanaan program membasmi kemiskinan di kawasan Mukim Kanibongan, Pitas, kerajaan juga telah meluluskan pembinaan beberapa jalan yang telah diminta oleh penduduk di situ sejak sekian lama.
"Jalan itu adalah Jalan Nibang yang telah siap dibina dengan peruntukan sebanyak RM150 juta, Jalan Kusilad (RM50 juta), Jalan Suang Duyung (RM50 juta) dan yang terbaru adalah Jalan Mengkubau dengan peruntukan RM113 juta dan kontraktor akan dilantik tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata banyak lagi pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Pitas bagi mewujudkan infrastruktur yang baik kepada rakyat di situ.
"Terlalu banyak yang kerajaan telah laksanakan di Kudat dan itu semua adalah untuk rakyat. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memberikan perhatian kepada Sabah, khususnya Kudat," katanya.
Justeru, Abdul Rahim, yang juga penyandang kerusi Parlimen Kudat selama tiga penggal, meminta pengundi di Kudat terus memberi kepercayan kepada BN untuk menerajui kerajaan selepas PRU14 ini.
-- BERNAMA