Razali bukan YB lima tahun sekali





Oleh Syamsiah Sahat

MUAR, 2 Mei (Bernama) -- Jika tiba musim pilihan raya umum (PRU), antara isu yang menjadi sebutan ialah munculnya wakil rakyat kawasan bertemu rakyat kerana semata-mata mahu meraih undi.

Pendek kata yang disebut sebagai "YB lima tahun sekali". Bagi masyarakat Muar keadaan itu tidak berlaku di kawasan mereka.

Penyandang kerusi Parlimen berkenaan Datuk Seri Razali Ibrahim dilihat begitu dekat di hati masyarakat Muar meskipun sibuk dengan tugas beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sering menghambat masa beliau.

Walaupun begitu, Razali tetap tidak lupa untuk balik ke kawasan setiap minggu.

Ini diakui oleh Fadil Jaafar, anak jati Maharani yang berkata Razali amat mengambil berat akan keperluan dan keinginan anak muda di kawasan Muar.

"Saya lihat keperluan pelbagai lapisan dipenuhi di Muar. Ini termasuk meluangkan masa bersama anak-anak muda yang dahagakan riadah setelah penat bekerja.

"Sebagai contoh, beliau memberi sokongan kepada Kelab Kriket Parit Jawa dari segi kewangan dan sokongan moral. Beliau tidak pernah menghampakan dan seboleh mungkin meluangkan masa bersama anak muda," kata penyelaras kelab kriket yang berusia 43 tahun itu kepada Bernama.

Justeru itu, Fadil berkata atas keyakinan itu, dia yang mengundi di DUN Maharani tetap yakin dengan kepimpinan Razali dan berharap pemimpin itu terus diberi mandat di parlimen.

Bagi Muhamad Bohari Salim, 56, keprihatinan wakil rakyat tidak semestinya menunjukkan muka atau sering sembang di kedai kopi bersama rakyat.

"Bukan juga sekadar memenuhi undangan perkahwinan. Datuk Seri Razali yang kami kenali sangat mengambil berat isu nelayan di Parlimen Muar.

"Jika terdapat masalah dan kami suarakan melalui persatuan, beliau segera mengambil tindakan. Soal insurans nelayan yang meninggal dunia beliaulah uruskan supaya keluarga yang ditinggalkan terbela, jika ada yang sakit, walaupun tidak sempat berziarah wakilnya akan sampai," katanya yang telah lebih 20 tahun menjadi nelayan di Sungai Balang.

Muhamad Bohari yang juga Ketua Pangkalan Nelayan Parit Amal Laut yakin golongan nelayan di Muar akan terus memberi sokongan kepada Razali sambil menambah pelbagai penambahbaikan prasarana nelayan telah diusahakan sejak Razali diberi mandat tiga penggal lalu.

Bagi Zaleha Hashim pula, Razali sering bertanya khabar dan datang ke kedai makannya jika beliau mempunyai urusan di kawasan berkenaan.

"Orangnya tidak sombong, malah sejak menjadi wakil rakyat pelbagai kemudahan disediakan untuk peniaga di Muar.

"Saya sendiri dahulu berniaga di tepi jalan selama hampir 10 tahun, atas keprihatinan beliau, saya kini mendapat kedai selesa di Dataran Sarang Buaya," kata peniaga berusia 57 tahun itu.

Razali, 48, anak jati Kampung Seri Menanti Muar menjadi ahli Parlimen Muar sejak tiga penggal lalu bermula tahun 2004.

-- BERNAMA