Golongan muda jadi tumpuan Chan di DUN Elopura





Oleh Haslin Gaffor

SANDAKAN, 3 Mei (Bernama) -- Mendekati dan mengambil hati golongan muda menjadi tumpuan Chan Tzun Hei, calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura sepanjang kempennya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Sebab itu, bapa dua cahaya mata berusia 35 tahun itu menggunakan platform media sosial khususnya di facebook untuk memperkenalkan dirinya, visi dan manifesto khususnya apa yang diperjuangkannya untuk golongan muda.

Bagi Chan, beliau tidak mengambil ringan terhadap cabaran khususnya menerusi media sosial, sebaliknya menggunakan kemajuan teknologi, komunikasi dan maklumat itu dengan baik.

Menurutnya dalam sesi kempen pilihan raya ini, beliau melancarkan beberapa siri video mengenai dirinya, visi, manifesto dan apa juga yang pernah beliau lakukan untuk kawasan Elopura.

"Ini antara cara saya menyampaikan mesej kepada pengundi untuk mendapatkan mandat daripada rakyat untuk membawa lagi banyak pembangunan dan memberikan khidmat lebih kepada rakyat," kepada Bernama di sini.

Chan merupakan calon muka baharu bertanding di kawasan DUN Elopura menggantikan mentornya, Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Datuk Au Kam Wah.

Terdapat 25,285 pengundi di kawasan itu yang menyaksikan Chan menghadapi saingan satu lawan satu dengan calon DAP Chong Ket Kiun.

Pada PRU13, Au menang kerusi DUN Elopura dengan majoriti 251 undi mengalahkan calon DAP dan SAPP.

Sebagai golongan muda, Chan yang sudah berkecimpung dalam bidang politik sejak 15 tahun lepas, berpendapat beliau ada kelebihan untuk merasai apa yang diperlukan oleh pengundi muda di daerah ini.

Menurutnya sebab itu antara yang beliau akan perjuangkan jika diberi peluang menjadi wakil rakyat di Elopura adalah peluang pekerjaan dan rumah mampu milik kepada golongan muda.

"Ia bukan tidak dapat direalisasikan kerana Sandakan menuju ke arah sebuah bandar raya pada tahun ini ditambah dengan naik taraf Lapangan Terbang Sandakan dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

"Dalam manifesto khas saya di Elopura menumpukan kepada latihan kemahiran kepada golongan muda dan membantu mereka mendapatkan dana atau pinjaman untuk memulakan perniagaan," katanya.

Chan yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Sabah berkata beliau juga menumpukan untuk menyediakan perumahan untuk golongan muda.

Justeru, beliau menyasarkan untuk menambah 1,500 rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan mampu milik di kawasan Elopura.

Beliau juga menyifatkan pengumuman Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman baru-baru ini mengenai konsep sewa beli untuk semua PPR di negeri ini satu berita baik kepada golongan muda untuk memiliki rumah sendiri.

Dalam pada itu, Chan meminta pengundi di daerah ini khususnya kawasan DUN Elopura tidak mengundi pada pilihan raya ini secara emosi disebabkan kemarahan yang diungkit oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya mengundi merupakan satu tanggungjawab untuk memilih seorang wakil rakyat yang mampu memberi perkhidmatan berkesan membawa perubahan di sesebuah kawasan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di daerah ini memilih parti dan calon yang mampu berkhidmat dengan ikhlas untuk mereka serta mampu meneruskan agenda pembangunan.

-- BERNAMA