Yew tidak pernah abai penduduk di Wangsa Maju
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kesungguhan untuk berkhidmat termasuk membuka pusat khidmat rakyat sendiri walaupun kalah pada pilihan raya lepas petunjuk jelas Datuk Yew Teong Look tidak pernah lupa pada janjinya kepada masyarakat Wangsa Maju.
Calon BN bagi kerusi parlimen Wangsa Maju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu mengakui meskipun gagal mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU12, beliau tidak pernah membelakangkan penduduk di Parlimen itu.
"Kebanyakan wakil rakyat apabila mereka kalah dalam mana-mana pilihan raya akan lesap dan tidak lagi berkhidmat di kawasan itu, namun saya tetap meneruskan khidmat saya kerana mahu melaksanakan janji terhadap penduduk.
"Antara janji saya termasuklah menyelesaikan isu-isu rakyat seperti membaiki jalan raya, isu perumahan dan membina sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di kawasan itu atas permintaan masyarakat Cina," katanya kepada Bernama.
Beliau sebelum ini pernah memenangi kerusi panas tersebut ketika PRU11 pada 2004 sebelum dikalahkan calon PKR Wee Choo Keong pada PRU12 dengan majoriti tipis 150 undi.
Bagaimanapun pada PRU13, Yew tidak bertanding apabila MCA 'meminjamkan' kerusi itu kepada UMNO dengan mencalonkan Ketua Bahagiannya Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, yang kemudiannya tewas kepada Dr Tan Kee Kwong daripada PKR.
Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju itu berkata pusat khidmat penduduk sudah lebih 10 tahun beroperasi, masih lagi meneruskan khidmatnya hingga kini.
"Pusat Khidmat MCA saya di Taman Danau Kota itu beroperasi hampir setiap hari, sejak saya bergelar anggota parlimen lagi hinggalah sekarang, ia masih dikunjungi oleh penduduk pelbagai kaum yang meminta pertolongan daripada saya.
"Konsep kami adalah 1Malaysia, walaupun pusat khidmat saya di bawah MCA, namun kami tetap berkhidmat tidak kira kaum dan agama," katanya.
Yew yang juga Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan turut menyifatkan perjuangan beliau dalam pembinaan SJKC Wangsa Maju ibarat 'bayi' yang berusia 10 tahun.
"Janji saya terhadap masyarakat Cina di Wangsa Maju, tidak pernah saya lupakan. Walaupun saya kalah dalam PRU12 dan tidak tercalon pada PRU13, namun usaha saya untuk merealisasikan hasrat itu masih lagi diteruskan.
"Daripada mencari tanah hinggalah mendapatkan kelulusan serta dana pembinaan sekolah, ia bukannya mudah dan cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi terutamanya dalam mengenal pasti lokasi untuk mendirikan sekolah itu," katanya.
Mengenai pembinaan SJKC Wangsa Maju, Yew berkata berkat daripada hubungan baik dengan badan bukan kerajaan (NGO) sekitar kawasan itu serta sokongan persatuan Cina tempatan, akhirnya SJK Wangsa Maju berjaya disiapkan pada 2015.
"Ia merupakan permintaan daripada penduduk kaum Cina berikutan SJKC yang yang paling hampir terletak di luar kawasan Wangsa Maju dan mereka terpaksa menghantar anak-anak jauh daripada kediaman mereka," katanya.
Kerusi parlimen Wangsa Maju bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara beliau dengan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR) dan calon Razali Tumirin (PAS).
Mengulas mengenai calon lawannya, Yew berkata penduduk boleh menilai sendiri kekurangan dan kelebihan mereka berdasarkan kualiti dan juga rekod calon.
"Saya tidak boleh menilai calon-calon lain, yang pasti penduduk di Wangsa Maju akan menilai sendiri dan membuat pilihan yang terbaik untuk masa depan mereka.
"Saya yakin dengan prestasi dan usaha saya selama lebih 10 tahun di Wangsa Maju ini akan dapat merampas balik kerusi tersebut sekiranya penduduk percaya dan masih mahu khidmat saya di sini," katanya.
Wangsa Maju mempunyai 88,482 pengundi yang terdiri daripada 57.23 peratus Melayu, 21 peratus Cina dan 18 peratus India.
-- BERNAMA