Pengalaman jadi Ketua Kampung matangkan calon BN Muadzam Shah
Oleh Balqis Jamaludin
ROMPIN, 3 Mei (Bernama) -- Dahulu dirinya pernah bekerja di bilik berhawa dingin, berpakaian kemas dengan bertali leher, sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang jurutera, namun demi minat dan sikap suka membantu yang telah sebati dalam dirinya, calon Barisan Nasional Muadzam Shah sanggup mengetepikan pendapatan lumayan yang dinikmati demi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Bagi Ir Razali Kassim, 49, muka baharu yang diketengahkan BN Pahang bagi menggantikan penyandang lima penggal Datuk Seri Maznah Mazlan di DUN itu, penglibatan dalam bidang politik bermula dengan 'tidak sengaja' apabila diminta menjadi pencatat minit oleh Setiausaha UMNO Cawangan Muadzam Shah pada 2004
"Semasa itu pejabat saya di Kuantan dan terpaksa berulang-alik ke Muadzam Shah apabila Ketua Kampung di Kampung Gading meminta saya menjadi pencatat minit mesyuarat sebulan sekali. Bermula dari situ saya diberikan kepercayaan sebelum dilantik menjadi Ketua Kampung Gading, Muadzam Shah, enam tahun kemudian.
"Ketika saya mula jadi ketua kampung, elaun yang diberikan hanyalah RM600 sahaja. Kos ulang-alik antara Kuantan dan Rompin pun tidak cukup. Kawan-kawan jurutera di Kuantan pun ketawa apabila mereka tahu saya ini ketua kampung.
"Tetapi tetap rasa puas dan seronok setelah dapat menyelesaikan masalah orang kampung dan ia memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tekanan kerja saya sebagai jurutera juga hilang apabila jumpa orang kampung," kata Pengerusi Pertubuhan Ketua Kampung Daerah Rompin itu kepada Bernama.
Katanya sejak itu beliau mula 'bertatih' dalam bidang politik apabila dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Rompin pada 2013 sebelum diberikan beberapa lagi tanggungjawab termasuk Setiausaha Penyelaras DUN Muadzam Shah dari 2014 sehingga kini.
Beliau berkata perkara itu memberi kelebihan kepadanya untuk memahami kehendak rakyat.
"Walaupun pengalaman saya dalam bidang politik ini baharu setahun jagung, namun hubungan saya dengan rakyat di sini bukanlah suatu yang baharu, saya mengenali mereka dan mereka juga kenal saya. Saya tahu apa kehendak dan keperluan mereka.
"Jika diberikan peluang saya berazam untuk menyediakan lebih tapak perumahan untuk generasi kedua Felda dan pengundi muda di kawasan ini kerana kita tahu untuk mendapatkan sebuah pada hari ini bukan suatu perkara yang mudah.
"Sekarang ini baru ada satu projek tapak rumah iaitu di Cempaka 2 yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat dengan peruntukan RM9 juta. Tanah seluas 20 hektar itu boleh menempatkan 251 lot rumah," katanya.
Katanya lebih 50 peratus daripada 20,206 pengundi di Muadzam Shah terdiri daripada generasi muda dan di DUN Muadzam sahaja terdapat lapan buah kawasan tanah rancangan.
Dari segi pecahan kaum pula, terdapat seramai 17,433 orang pengundi Melayu (86.28 peratus), Orang Asli 2,210 (10.94 peratus), India 300 (1.48 peratus) Cina 155 (0.77 peratus), lain-lain 89 (0.44) dan bumiputera Sabah serta Sarawak 19 (0.09 peratus).
Razali berkata walaupun tempoh berkempen baru berlangsung lima hari, namun beliau telah bertemu dengan kira-kira 70 peratus pengundi Muadzam Shah, terdiri daripada kelompok masyarakat yang tinggal di kampung-kampung tradisional, tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli.
Pada PRU14, 9 Mei ini Razali akan ditentang Ramli Awang Ahmat (PAS) dan Osman A.Bakar (PKR-PPBM).
-- BERNAMA