Semangat adik-beradik azimat calon BN pikat pengundi DUN Ayer Hangat
Oleh Hamdan Ismail
LANGKAWI, 3 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid memilih pendekatan yang sama seperti dua pilihan raya umum (PRU) lalu dengan menganggap pengundi seperti anggota keluarga sendiri.
Mohd Rawi melihat cara itu sebagai kaedah yang berkesan untuk mengekalkan sokongan mereka kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah berjaya mengharungi dua pilihan raya sebelum ini.
Bekas peguam bertauliah dan bekas pensyarah undang-undang yang fasih berbahasa Arab dan Siam, Mohd Rawi tidak riak dengan pencapaian profesionnya dan seringkali kelihatan mengikat kain pelikat sama ada di kepala mahupun di pinggang dalam beberapa acara yang diadakan di Langkawi.
Ia sekali gus menggambarkan identiti beliau yang tidak pernah melupakan asal-usul sebagai seorang anak nelayan dan petani yang merupakan pekerjaan asal kebanyakan penduduk Langkawi sebelum pulau ini dikenali sebagai destinasi pelancongan.
"Kempen-kempen yang saya gunakan (dalam PRU-14) adalah kaedah kampung sahaja... santai dan (dalam semangat) adik-beradik," katanya ketika ditemui dalam satu majlis di sini.
Menurut calon BN berusia 52 tahun ini, semangat kekeluargaan dengan menggunakan frasa adik-beradik ini begitu dekat di hati penduduk di Langkawi khususnya di Ayer Hangat, yang merupakan satu daripada mukim di pulau ini yang diangkat namanya menjadi satu kawasan DUN.
"Hanya adik-beradik kita yang memahami dan tak akan lari ke mana-mana. Rumah di sini, mati pun di sini. Saya memahami apa hasrat, apa masalah dan tanggungjawab yang berkaitan (dan perlu dipikul)," katanya.
Menyentuh projek-projek yang menjadi keperluan rakyat di kawasannya, beliau berkata sebuah jeti nelayan baharu akan dibangunkan di kawasan Pasir Hitam, sebuah kawasan bersejarah di sini yang turut menjadi satu daripada tarikan pelancong di Langkawi.
Menurutnya beliau telah lama memohon daripada kerajaan Persekutuan supaya diwujudkan jeti berkenaan memandangkan Pasir Hitam merupakan antara pelabuhan nelayan tertua di Langkawi.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam satu lawatan singkat ke sini baru-baru ini telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membuat kajian dan ia telah diluluskan," katanya.
Mohd Rawi berkata Ayer Hangat juga memerlukan sebuah pos mini kawalan pantai berikutan kedudukannya yang begitu dekat dengan perairan antarabangsa di sempadan laut Malaysia-Thailand.
Menurutnya buat masa sekarang, pangkalan laut terdekat agensi penguatkuasaan seperti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terletak di sebelah tenggara Pulau Langkawi.
"Mereka memerlukan masa sehingga sejam untuk sampai ke sini menggunakan laut sedangkan dari sini hendak ke perairan antarabangsa hanya mengambil masa 10 minit.
"Keadaan ini boleh menggagalkan (usaha) pihak keselamatan kalau hendak menangkap pihak yang bersalah (penjenayah yang melarikan diri menggunakan jalan laut)," katanya.
Dalam persaingan menawan hati 21,297 orang pengundi DUN Ayer Hangat pada PRU-14 ini, Mohd Rawi yang ditentang oleh calon PKR-PPBM, Juhari Bulat dan calon PAS, Azlina Azinan, menaruh keyakinan akan dapat mempertahankan kerusi DUN itu untuk BN.
"Kami yakin BN akan terus dapat mempertahankan kemenangan di Langkawi tetapi saya sebagai wakil rakyat tidak boleh merasa selesa, tak boleh take for granted (mengambil mudah), tak boleh riak... mesti terus menyantuni pengundi dari semua peringkat setiap masa," katanya.
-- BERNAMA