Zahid minta Muhyiddin jaga kawasan, jangan 'sibuk' buat tuduhan
BAGAN DATUK, 3 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukannya melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan Muhyiddin bahawa BN akan melakukan apa sahaja bagi menghalang rakyat di negara ini keluar mengundi pada 9 Mei depan merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.
"Tidak munasabahlah. Dulu dia (Muhyiddin) pernah berada dalam kedudukan saya. Janganlah sudah tidak ada dalam kerajaan buat dakwaan-dakwaan begitu, jagalah pengundi (Parlimen) Pagoh dan (Dewan Undangan Negeri) Gambir elok-elok," katanya.
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Muhyiddin kononnya BN akan melakukan apa sahaja termasuk kemungkinan menumbangkan pokok di atas jalan selain menawarkan wang kepada pengundi untuk mengundi parti itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan melemparkan pelbagai dakwaan konon dirinya sering disabotaj bagi mengagalkan beliau bertanding pada PRU14, adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata taktik sama pernah digunakan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri bagi meraih simpati rakyat pada ketika itu dan terus menggunakan taktik sama walaupun kini tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.
"Itulah taktik yang digunakan orang itu dan saya pun sudah tidak mahu gelar apa pun lagi kepada beliau kerana kita pernah tertipu dengan taktik yang digunakannya semasa menjadi pemimpin dan taktik sama masih digunakan tapi pendekatan berbeza," katanya.
Ahmad Zahid mengulas mengenai dakwaan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau disabotaj Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Subang sejurus tiba dari Terengganu, Selasa lalu.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau ke Langkawi disabotaj oleh pihak tertentu.
Justeru itu, Ahmad Zahid berharap rakyat di negara ini tidak tertipu dan perlu menolak taktik Dr Mahathir yang hanya sekadar mahu meraih simpati.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam pada PRU14 menyelar tuduhan pembangkang yang mendakwa pembinaan Kem Angkatan Tentera Darat (ATM) di Hutan Melintang bertujuan untuk menambah undi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan pembinaan kem itu adalah disebabkan ketiadaan kem tentera di kawasan selatan Perak.
"Kita harus tahu bahawa kem tentera yang terdekat adalah di Sungai Buluh,Selangor manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula adalah di Lumut sehingga menyebabkan kelopongan di kawasan selatan Perak," katanya ketika berucap pada Program Jiwa Murni ATM di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini.
Beliau berkata pembinaan kem tentera itu bukan sahaja untuk pertahanan negara, malah dapat memberi peluang kepada anggota tentera berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat di Hutan Melintang.
Ahmad Zahid turut menyelar dakwaan pembangkang kononnya anggota tentera di negara ini hanya makan gaji buta kerana dianggap tidak berjuang di medan perang selain perlu menjalani latihan setiap hari.
"Seharusnya tidak ada perbezaan antara soal pertahanan dan keselamatan kerana kita sebagai rakyat Malaysia jangan pernah mempertikaikan soal pertahanan dan keselamatan negara," katanya.
Sementara itu, ketika menghadiri perjumpaan bersama pasukan Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja di Kem Syed Putra di Ipoh, Ahmad Zahid memberi jaminan akan memastikan kebajikan warga tentera di Kem Hutan Melintang terus diberi keutamaan.
Katanya beliau memahami keadaan kem yang baharu itu serba kekurangan buat masa ini, namun segala kemudahan akan diberikan dalam masa terdekat bagi memastikan keselesaan penghuni.
"Saya sendiri akan memastikan bahawa anak-anak tentera di kem tersebut bakal mendapat pendidikan di sekolah terbaik di Bagan Datuk. Ini janji kita.
"Kita juga mahu pesara-pesara tentera dari kem tersebut membeli rumah yang murah di Bagan Datuk untuk membina kehidupan di sana selepas bersara," katanya.
Tambah Ahmad Zahid, pesara tentera tidak perlu risau mengenai tahap kemajuan yang kurang di Bagan Datuk kerana kawasan itu kini sebuah daerah yang sedang pesat membangun dengan pelbagai projek besar.
"Pembinaan jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk dan Kampung Sejagop (dalam daerah Perak Tengah) akan membuka lebih banyak kemajuan di Bagan Datuk," katanya.
-- BERNAMA
-- BERNAMA