Rancang Ladang Gaharu Untuk Orang Asli Gua Musang - Tengku Razaleigh
GUA MUSANG, 3 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) merancang membuka ladang gaharu untuk menjana ekonomi masyarakat Orang Asli di pedalaman jajahan ini sekiranya diberi mandat mentadbir Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Calon BN di kerusi Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata projek yang dirancang itu tertangguh sejak empat tahun lepas apabila kerajaan negeri pimpinan PAS tidak melayan permohonan bagi meluluskan tanah untuk projek tersebut.
"Ladang gaharu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta itu dicadangkan dibuka di kawasan Orang Asli yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri yang boleh memberi pulangan lumayan kepada kaum itu," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra dan penyampaian dividen ladang sawit kepada peserta Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli di Kampung Kuala Betis di sini.
Tengku Razaleigh berkata kajian berkaitan daya maju projek tersebut telah dijalankan termasuk berhubung pasaran dan kualiti gaharu yang bakal dihasilkan bagi pasaran antarabangsa.
Beliau turut mengulangi janji BN untuk menyelesaikan masalah tanah adat sekiranya diberi kepercayaan mentadbir negeri ini kerana kerajaan PAS gagal menyelesaikan masalah berkenaan.
-- BERNAMA