Kemeriahan kempen PRU14 di Sabah masih sederhana




Oleh Nashir Mansor dan Haslin Gaffor

KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) ? Walaupun tempoh kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah memasuki hari keenam sebelum hari mengundi pada 9 Mei ini, kemeriahan kempen parti-parti politik yang bertanding di kebanyakan kawasan di Sabah masih boleh dianggap pada tahap sederhana.

Di kawasan bandar-bandar utama seperti Parlimen Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan umpamanya, ketika berita ini ditulis, kebanyakan poster, kain rentang, papan iklan dan dan lain masih kurang dan didominasi oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Apas dan Balung dan dalam kawasan Parlimen Tawau, sebagai contoh, belum ada poster calon-calon pembangkang seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan PKR dipasang manakala poster calon parti politik lain seperti Pas dan Harapan Rakyat masih sedikit dan tenggelam dikerumuni poster calon BN.

Papan iklan, bendera dan gegantung calon-calon parti pembangkang di beberapa lokasi belum mampu menyaingi bendera dan papan iklan BN dari segi bilangannya.

Seperti PRU13 lalu, gambar calon pada gegantung DAP memperlihatkan gaya menggenggam penumbuk, calon PKR mengangkat tinggi tangan kanan manakala calon BN selain bentuk 'posing' ada juga calon guna papan iklan lakaran atau lukisan wajah mereka seperti dibuat calon Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dengan tulisan 'Undilah Kak Mary'.

Kurang jelas mengapa bilangan poster dan papan tanda parti pembangkang masih terlalu kurang. Mungkin juga itu strategi kempen mereka dengan menganggap lima hari pertama kempen cuma sebagai tempoh ?pemanas badan' sebelum membuat ?pecutan' pada enam hari berikutnya.

Yang jelas kebanyakan pemimpin parti dan calon yang bertanding dilihat lebih menumpukan perhatian kepada lawatan ke pusat Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing untuk memastikan aktiviti kempen jentera PRU mereka berada dalam keadaan baik serta menganjurkan sesi-sesi ceramah berskala kecil untuk penyokong dan pengundi.

Mungkin kempen yang masih boleh dianggap 'warming up' inilah yang menyebabkan ada pemimpin parti masih enggan mendedahkan keberkesanan hasil kempen mereka selepas lima hari ini seperti presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang hanya menyatakan 'kempen SAPP berjalan lancar' apabila berkali-kali diajukan soalan tentang prestasi kempen parti itu.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, ketika berkempen di DUN Kunak dalam kawasan Parlimen Silam, berkata setakat ini beliau sudah menjelajah begitu banyak PDM parti itu di seluruh Sabah untuk berkempen dan mendapatkan maklumat balas daripada akar umbi sehingga tidak dapat ingat jumlahnya.

Mohd Shafie yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna dan selain mencuba nasib di kawasan DUN Senallang dengan berdepan sepupunya sendiri, yakin, melalui calon-calon muda dan profesional yang ketengahkan parti pembangkang itu, akan ada perubahan di kawasan yang sudah ditandingi calon-calon BN selama berpuluh-puluh tahun.

Bagi Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna yang mempertahankan kerusi DUN Senallang, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, kempennya bersama jentera BN selepas penamaan calon 28 April lalu cuma lanjutan kepada kerja-kerja turun padang menemui rakyat di Semporna, khususnya DUN Senallang sepanjang lima tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, jentera BN tidak memandang mudah kepada Shafie, sepupunya yang menjadi lawannya di Senallang, sebaliknya bekerja 24-jam untuk memenangkan calon BN bukan sahaja untuk DUN Senallang tetapi juga calon Parlimen Semporna dan DUN Bugaya dan Sulabayan.

"Alhamdulillah, selepas masuk lima hari berkempen ini, sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional begitu meningkat dan bertambah... Insya-Allah, pendekatan kempen kita sebelum ini berkesan sehingga penyokong parti dan rakyat sanggup menunggu ketibaan pemimpin mereka yang lewat tiba disebabkan kesibukan melawat kawasan-kawasan lain. Kalau bukan disebabkan perjuangan untuk parti, mereka sudah tentu tidak akan menunggu dari pagi hingga petang," katanya.

Beliau yakin BN mampu pertahankan kerusi Senallang yang diwakilinya dan Parlimen Semporna serta DUN Bugaya dan dun Sulabayan yang masing-masing diwakili Datuk Ramlee Marahaban, Datuk Abdul Razak Tun Sakaran dan Datuk Harman Mohamad.

Calon BN bagi kawasan Parlimen Sandakan Datuk Lim Ming Hoo pula berkata jenteranya sudah melawat lebih 50 peratus kawasan pengundi kawasan Parlimen itu.

"Dari segi sambutan pengundi setakat ini adalah positif khususnya pengundi atas pagar. Nampak dari segi bahasa tubuh dan senyuman, mereka memberi maklum balas yang baik berbanding sebelum ini," kata Lim yang juga naib presiden Parti Leberal Demokratik (LDP) dan setiausaha BN Sandakan.

-- BERNAMA