Kempen rumah ke rumah lebih berkesan meskipun ada media sosial
Gambar fail
Oleh Noor Aznida Alias
KUALA BERANG, 3 Mei (Bernama) -- Pendekatan secara bersua muka melalui lawatan dari rumah ke rumah masih dianggap cara kempen yang berkesan bagi menarik hati pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata "kaedah tersebut dan berkunjung ke kedai kopi di kampung mampu memberi impak positif meskipun media sosial dianggap medium paling berpengaruh ketika ini.
"Rata-rata pengundi mahu bertemu muka dan sekurang-kurangnya dapat bersalam untuk melihat sendiri aura calon tersebut dan membuat penilaian yang akhirnya dizahirkan atas kertas undi.
"Pendekatan sebegini amat penting bukan sahaja untuk menarik pengundi lama malah kalangan orang muda juga perlu diberi lebih perhatian. Pengundi biasanya sudah menyimpan persepsi tersendiri terhadap calon dan adakalanya perjumpaan empat mata dapat mengubah tanggapan mereka," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Sebelum dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rosol pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil selama dua penggal melalui PRU11 dan ke-12 sebelum ?direhatkan' pada PRU13.
Menurut Rosol, sebagai calon yang dilantik semula, beliau tidak berdepan masalah sepanjang kempen kerana rata-rata pengundi di Parlimen Hulu Terengganu sudah mengenalinya.
Malah ramai yang menyifatkan kemunculan semula beliau adalah sinergi baharu yang mampu menarik semula pengundi yang nyaris-nyaris menukar pendirian parti.
"Sebelum dicalonkan saya memang selalu berjumpa masyarakat di sekitar Hulu Terengganu kerana menghadiri jemputan kahwin, ziarah kematian, aktiviti masyarakat setempat, sembahyang berjemaah dan sebagainya.
"Cuma dalam tempoh kempen ini saya mendekati mereka sebagai calon BN dan berharap mereka dapat terus memberi sokongan kepada kerajaan BN sedia ada," katanya.
Parlimen Hulu Terengganu mempunyai jumlah pengundi berdaftar sebanyak 73,487.
Rosol berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Datuk Razali Idris (PKR-PPBM) dan Muhyidin Abdul Rashid (PAS) dalam pilihan raya umum ini.
-- BERNAMA