Fasih berbahasa Mandarin, isteri calon BN bantu berkempen
Oleh Kamaliza Kamaruddin
HULU TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) -- Kehadiran isteri calon yang membantu suami mereka berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah situasi biasa di seluruh negara.
Namun, bagi calon Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Dr Ghazali Taib, beliau bertuah kerana kebolehan isterinya, Bibi Nazima Mohamed Akbal berbahasa Mandarin memudahkannya mendekati pengundi kaum Tionghoa di kawasan itu.
Hari ini, Bernama turut berkesempatan meninjau Ghazali dan isterinya berkempen di sekitar kawasan perniagaan pengundi Tionghoa di sekitar pekan Ajil dan melihat sendiri bagaimana mereka gembira berbual dengan Bibi Nazima menggunakan bahasa ibunda mereka.
Seorang pemilik bengkel membaiki jentera, Kwan Khaii Sang, 63, berkata Ghazali dan isterinya selalu mengambil berat kebajikan golongan peniaga di kawasan itu sejak bergelar ADUN Ajil lima tahun lalu.
"Sudah enam kali saya mengundi di Ajil ini dan tidak pernah memberi undi kepada parti lain kerana hanya BN yang benar-benar membela nasib rakyat termasuk kami, kaum minoriti Tionghoa di sini," katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 30 tahun lalu.
Pemilik kedai cat, Lau Poh Kuan, 48, berkata pengundi Tionghoa memang seronok berkomunikasi dengan Ghazali dan isterinya kerana tidak ramai orang Melayu yang pandai berbahasa Mandarin di Ajil.
"Bila mereka berdua datang ke kedai saya, mesti pelanggan yang lain pun akan datang berbual sama dan YB (Yang Berhormat) pun mudah mesra dengan mereka," katanya yang mula berniaga sejak tahun 1996.
Pengerusi MCA Bahagian Hulu Terengganu, Lee Guan Teck berkata terdapat 110 pengundi Tionghoa di DUN Ajil setakat ini yang kebanyakannya tinggal di sekitar pekan Ajil dan beberapa kampung tradisional seperti Kampung Menerong, Kampung Bukit Ara dan Kampung Bukit Apit.
"Di Ajil, kaum Tionghoa memang penyokong tegar BN kerana mengambil berat kebajikan mereka sejak lebih 60 tahun lalu....siapa pun jadi calon BN di sini pasti mendapat sokongan penuh pengundi Tionghoa sejak dulu lagi.
"Ghazali dan isterinya banyak membantu golongan Tionghoa terutama warga emas kerana ramai anak mereka kini merantau jauh di tempat lain, jadi petugas MCA akan bersama-sama beliau menguruskan kebajikan mereka," katanya.
Sementara itu, Bibi Nazima berkata beliau menguasai kemahiran berbahasa Mandarin sejak berusia tujuh tahun ketika bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa dekat Wakaf Tapai.
"Malah kelima-lima anak kami juga mempunyai kemahiran berbahasa Mandarin ini sebagai satu dari bahasa yang perlu mereka kuasai selain bahasa Inggeris...lagipun Malaysia ini negara majmuk, kebolehan menguasai pelbagai bahasa adalah bonus," katanya.
Pada PRU14 ini, DUN Ajil menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ghazali (BN), Zamani Mamat (PKR-PPBM) dan Maliaman Kassim (PAS).
Pada PRU13, Ghazali menewaskan Mohd Razki Yah Alias (PAS) dengan majoriti 2,782 undi.
-- BERNAMA