Masa depan penduduk Balik Pulau terjamin di bawah BN - Dr Hilmi
GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Masa depan penduduk Balik Pulau akan terus terjamin di bawah pelan pembangunan Barisan Nasional (BN) yang dirancang secara bersepadu, kata penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata setiap perancangan BN selama ini sememangnya mengambil kira keperluan masa depan dan setiap pembangunan dilulus dilaksanakan secara bersepadu dan teratur.
"Insya-Allah, dengan izin-Nya dan berkat doa seluruh penduduk Balik Pulau, masa depan rakyat di sini akan terus terjamin di bawah BN kerana kami tidak pernah leka daripada berjuang mempertahankan keperluan rakyat dari segenap segi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kempen pilihan raya umum BN di daerah ini sedang berlangsung penuh semangat, dengan seluruh jentera parti-parti komponen turun padang demi satu matlamat, iaitu mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Telok Bahang di bawah BN.
Dr Hilmi berkata beliau telah dimaklumkan bahawa perancangan dan gerak kerja pembangunan di Balik Pulau, sama ada yang telah dilancar atau sedang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan telah ditohmah oleh pembangkang.
"Mereka (pembangkang) memutar belit fakta kerana tahu bahawa mereka tidak dapat menawarkan apa yang mampu dilaksanakan oleh BN. Apa yang cuba dipolemikkan oleh pembangkang membuktikan bahawa mereka berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa mengetepikan perkara-perkara sahih," katanya.
Dr Hilmi berkata pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan di Balik Pulau sedang melalui satu peringkat pembangunan yang begitu positif.
Menurutnya, pelancaran projek-projek di bawah Kementerian Kesihatan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini membuktikan bahawa kerajaan telah memberi perhatian yang sebaiknya kepada rakyat.
"Kerajaan telah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan di Air Putih bernilai RM30 juta, sebuah Klinik Kesihatan di Bayan Lepas bernilai RM40 juta, malah kerja-kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar di Hospital Balik Pulau bernilai RM8 juta telahpun diluluskan untuk menampung keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata pembangkang hanya tahu membuat tohmahan dengan mencipta bermacam-macam cerita tanpa merujuk kepada fakta seolah-olah kerajaan BN tidak memberi keutamaan kepada aspek kemudahan kesihatan di sini.
Dr Hilmi yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan calon PAS Muhammad Imran Muhammad Saad dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
-- BERNAMA