Ribuan hadir ceramah kempen bukan penentu kemenangan calon - Zambry
LUMUT, 3 Mei (Bernama) -- Kehadiran ribuan orang di ceramah dan program dalam tempoh berkempen tidak menentukan kemenangan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU), kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata bukti sokongan perlu direalisasikan melalui jumlah undi semasa hari pengundian yang termasuk mengambil kira golongan pengundi ?senyap'.
Perkara itu terbukti semasa kemenangan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.
"(Ketika itu) mereka (pembangkang) melihat dari segi kehadiran malam akhir (ceramah sebelum hari pengundian) beribu-ribu orang ramai datang tetapi keesokannya (majoriti) rakyat Teluk Intan telah buat keputusan siapa wakil rakyat mereka dengan memilih calon Gerakan.
"Ini kita sebutkan sebagai 'silent majority' (pengundi senyap). Paling penting pada hari terakhir iaitu hari mengundi siapakah yang dipilih rakyat dan ia telah dibuktikan di Teluk Intan dan saya yakin kawasan lain seperti di Beruas, ia akan diterjemahkan dalam konteks yang sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Astaka di Taman Mas, Kampung Koh di sini.
Turut hadir calon BN dalam PRU14 bagi kerusi DUN Astaka, Teng Keek Soong dan calon BN di kerusi Parlimen Beruas, Pang Chok King.
Zambry yang merupakan calon BN di kerusi Parlimen Lumut dan DUN Pangkor berkata, momentum anggota dan jentera BN Perak berada pada tahap terbaik dan turut menerima maklum balas positif daripada rakyat mengenai calon BN selepas enam hari berkempen.
"Bacaan (tinjauan) perkembangan yang terus positif dan setiap hari menunjukkan tahap sokongan (rakyat) yang lebih baik daripada (jangkaan) kita letakkan sebelum ini.
"Insya-Allah dengan kemantapan barisan jentera dalam peringkat komponen kita mempunyai keyakinan ini (untuk menang)," katanya.
Selepas menyantuni masyarakat setempat di DUN Astaka, yang sebelum dikenali sebagai Sitiawan, Zambry turut meluangkan masa melawat PDM Kampung Banjar di kawasan DUN Pengkalan Baharu, Beruas di sini.
-- BERNAMA