Pasang bendera, poster BN di skuter tanda sokongan
TUMPAT, 3 Mei (Bernama) -- Seorang pesara tentera memasang bendera serta poster Barisan Nasional (BN) memenuhi skuter miliknya bagi menzahirkan sokongan serta menghargai jasa kerajaan kepada rakyat selama ini.
Jusop Ibrahim, 70, dari Kampung Pengkalan Kubor berkata bendera BN bukan hanya dipasang pada musim pilihan raya tetapi setiap masa sejak beliau bersara pada 1985.
"Ini adalah cara saya untuk menghargai jasa kerajaan kepada rakyat di negara ini. Rakan-rakan di kampung ini menyokong tindakan saya tetapi ada juga yang tidak suka, ia perkara biasa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata setiap tahun beliau akan mengeluarkan duit sendiri untuk memasang bendera serta poster BN yang baru pada skuter miliknya kerana mahu memastikan kenderaan itu kelihatan cantik manakala poster yang tertera adalah baharu.
Selain itu, kata Jusop, ini juga merupakan strategi berkempen bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor iaitu Mat Razi Mat Ail pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei ini.
"Pada waktu pagi saya akan keluar dengan motosikal dan masuk ke kawasan tumpuan orang ramai. Kanak-kanak amat teruja melihat motosikal saya yang dihiasi dengan bendera BN," katanya, yang mahu penduduk di Pengkalan Kubor keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
-- BERNAMA