PRU14: Khaidir Ahmad bantu gali kubur pengundi
TEMERLOH, 3 Mei (Bernama) -- Calon Bebas Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang Mohd Khaidir Ahmad meluangkan masa lebih sejam membantu menggali kubur seorang penduduk Kampung Tebing Tinggi di sini pagi tadi.
Mohd Khaidir berkata usaha yang dilakukan itu bukan kempen pilihan raya untuk meraih undi sebaliknya ia sudah dimulakan sejak awal tahun lalu sebaik sahaja beliau membeli jengkaut bernilai RM125,000.
"Sebaik sahaja saya beli jengkaut ini saya sudah umumkan di masjid untuk memberikan perkhidmatan menggali kubur secara percuma kepada penduduk Kampung Tebing Tinggi dan Tanjung Belenggu, tempat kelahiran saya.
"Ia bukan untuk kempen pilihan raya, tujuan saya beli jengkaut ini adalah untuk mencari rezeki dengan mengambil upah menerangkan kawasan semak untuk buat kebun dan tapak rumah penduduk sekitar.
"Saya bayar upah RM100 sehari kepada seorang pemandu jengkaut untuk mengajar saya memandu dan mengendalikan jengkaut ini sebaik sahaja saya beli," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohd Khaidir berkata, ia sebagai fardu kifayah untuk membantu penduduk kampung.
Katanya, usaha membantu penduduk kampung menggali kubur itu dibuat selepas melihat tidak ada jengkaut untuk digunakan jika berlaku kematian.
"Bulan November tahun lepas saya keluar duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membeli jengkaut ini untuk kegunaan kerja.
"Saya ambil inisiatif membeli jengkaut ini supaya dapat membantu penduduk kampung jika berlaku kematian, masa kecil dulu saya selalu bantu orang kampung di kubur jika berlaku kematian dan sekarang lebih mudah menggunakan jengkaut," katanya.
-- BERNAMA