BN kuasai rentak pertarungan di Sabah
h Newmond Tibin
KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) -- Setelah lima hari berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, Barisan Nasional (BN) Sabah dengan diterajui Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang cukup berkarismatik, kini menguasai pertarungan di medan untuk menawan hati pengundi di negeri ini.
BN Sabah, yang berdepan dengan pertandingan banyak penjuru, kelihatan akan terus berkuasa di negeri ini, walaupun sesetengah parti pembangkang mendakwa mereka berjaya menembusi kubu kuat BN di pantai timur.
Di sebalik serangan dilancarkan pembangkang, termasuk kemunculan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinannya dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen dan negeri, BN Sabah berkemungkinan mengekalkan sebahagian besar kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Bagaimanapun, BN menjangka menghadapi tentangan sengit bagi kerusi Parlimen Semporna, Batu Sapi, Silam, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Penampang, Beaufort, Sepanggar, Pensiangan, Keningau dan Kota Marudu serta kerusi negeri Api-Api, Luyang, Likas, Inanam, Kapayan, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Klias, Senallang, Bugaya, Sulabayan, Paginatan, Kiulu, Tamparuli, Nabawan, Sri Tanjung, Karamunting, Tanjong Papat dan Elopura.
Demikian menurut analisis beberapa pemerhati politik di negeri ini berdasarkan senario politik tempatan di mana kem pembangkang kelihatan berpecah hingga menyebabkan berlakunya pertandingan banyak penjuru.
Pada pilihan raya umum 2008, BN Sabah memenangi 59 daripada 60 kerusi negeri dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen serta mengulangi kejayaan itu pada pilihan raya umum 2013, dengan memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi negeri yang dipertandingkan.
Penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Dr Lee Kuok Tiung, berkata terdapat petanda bahawa majoriti rakyat Sabah mungkin terus menyokong BN pada pilihan raya umum kali ini.
"Secara umumnya, rakyat gembira dengan BN Sabah atau yakin BN akan terus berkhidmat dengan baik, walaupun ada pihak yang menggunakan isu kenaikan harga barang berikutan pelaksanaan GST, Perjanjian Malaysia 1963, kekurangan peluang pekerjaan dan beberapa isu tempatan lain.
"Parti pembangkang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini, terutama Perjanjian Malaysia, untuk menawan hati dan minda rakyat, manakala para pemimpin BN berkunjung ke seluruh ceruk rantau negeri ini untuk bertemu rakyat di peringkat akar umbi bagi menjelaskan kepada mereka tentang manifesto BN yang bersifat inklusif dan komprehensif, terutama manfaat yang disediakan untuk rakyat," katanya kepada Bernama.
Lee berkata tempoh beberapa hari akan datang merupakan masa yang amat penting bagi BN dan pembangkang untuk melakukan terjahan terakhir bagi menarik sokongan pemilih supaya mengundi mereka.
Bagi kerusi kawasan majoriti kaum Cina, beliau berkata "terdapat petanda bahawa pengundi Cina akan kembali menyokong BN di Kapayan dan Penampang berdasarkan jumlah hadirin pada ceramah BN Penampang di Lido dan dataran Donggongon baru-baru ini."
Katanya, ini sebahagian besarnya disebabkan faktor calon kerana kedua-dua calon BN, Francis Goh (kerusi negeri Kapayan) dan Ceasar Mandela (kerusi Parlimen Penampang) memiliki 'pakej' yang mampu menarik pengundi daripada kaum itu.
Kedua-dua calon muka baharu itu memiliki perwatakan menarik serta mudah didekati dan ini memikat hati masyarakat di sana untuk menjadi wakil rakyat mereka, kata beliau.
"Di Kiulu (kawasan Kadazandusun di daerah pedalaman), yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru, sesetengah orang berkata BN berdepan cabaran getir, tetapi pada hakikatnya, parti memerintah memiliki kelebihan kerana pembangkang dilanda perpecahan.
"Satu kaji selidik menunjukkan sokongan terhadap BN di Kiulu mencapai lebih 50 peratus dan ini sudah mencukupi bagi parti memerintah itu untuk mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti lebih besar kerana undi pembangkang akan berpecah tiga," katanya.
Calon BN bagi kerusi negeri Kiulu, yang merupakan bekas presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, dicabar calon daripada Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS) dan STAR.
Lee juga meramalkan BN akan menghadapi tentangan hebat di kawasan Parlimen Semporna di mana Shafie mempertahankan kerusi itu dan mencabar calon BN bagi kerusi negeri Senallang.
"Untuk julung kalinya, undi pemilih beragama Islam, yang selama ini begitu padu untuk UMNO, mungkin dipecahkan Warisan, yang diketuai bekas naib presiden UMNO itu (Shafie)," katanya.
BN meletakkan calonnya di kesemua 25 kerusi Parlimen untuk menentang lawannya yang terdiri daripada Warisan (di 16 kerusi), HR (14), PCS (lapan), PAS (lapan), PKR (enam), STAR (lima), DAP (tiga), Anak Negeri (dua), PPRS (dua), Perpaduan (satu), Amanah (satu) dan Bebas (empat).
Bagi kerusi negeri, BN meletakkan 60 calon, Warisan (45), HR (26), STAR (21), PAS (18), PCS (18), PKS (16), PKR (lapan), DAP (tujuh), Anak Negeri (sembilan), PPRS (lapan), SAPP (lima), USNO (dua), Amanah (satu), Perpaduan (satu) dan Bebas (lapan).
-- BERNAMA