PAS masih bergelut dengan isu Nik Omar




Oleh Mohamad Bakri Darus





KOTA BHARU, (Bernama) -- Apabila kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) memasuki hari keenam hari ini, PAS Kelantan dilihat masih bergelut dengan isu penamaan Nik Omar, anak kedua bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai calon PKR-Amanah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Ekoran tindakan Nik Omar bersama Parti Amanah Negara (Amanah), PAS mengambil tindakan memecatnya selepas proses penamaan calon tamat Sabtu lepas.

Tindakan Nik Omar, 53, yang bertugas sebagai Mudir Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka, sebuah sekolah agama yang diasaskan keluarganya bukan sahaja bertentangan dengan pendirian keluarganya yang teguh memperjuangkan PAS malah menggoyangkan keyakinan penyokong tegar parti itu.

Nik Omar turut dilaporkan meminta rakyat supaya berfikiran terbuka dalam menerima mana-mana kumpulan yang membawa pendekatan Islam walaupun berbeza pandangan yang dilihat membuka mata penyokong parti tersebut.

"Tindakan Nik Omar itu memberi kesedaran kepada penyokong PAS yang selama ini berpegang teguh hanya orang yang bersama dengan mereka (PAS) yang akan masuk syurga," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika diminta mengulas perkembangan dalam PAS itu.

Mengulas isu tersebut, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang juga calon PAS Parlimen Kota Bharu percaya sokongan terhadap PAS sebagai parti yang menerajui Kelantan sejak 28 tahun lalu tidak terjejas berdasarkan rekod pencapaiannya.

Beliau juga percaya rakyat negeri ini memberi sokongan kepada parti bukan kepada calon walaupun Nik Omar seorang anggota PAS sebelum ini.

Pakatan Harapan Kelantan yang diketuai Naib Presiden Amanah Husam Musa dilihat meraih manfaat politik dengan penyertaan Nik Omar terutama di pentas ceramah yang giat dilaksanakan di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, BN Kelantan yang diketuai Datuk Seri Mustapa Mohamed terus menjana momentum sokongan rakyat kepada calon-calon yang bertanding dalam usaha mereka melakukan perubahan di negeri yang ketinggalan berbanding negeri lain dalam arus pembangunan.

'Team Tok Pa' yang diasaskan oleh Mustapa mempunyai komitmen yang mantap menggerakkan seluruh jentera parti bekerja kuat untuk memenangkan calon mereka.

"Momentum ini kami telah bina sejak PRU13 (2013) apabila BN berjaya menambah kerusi Parlimen daripada dua (yang dimenangi pada PRU12) kepada lima kerusi (PRU13) manakala bagi kerusi DUN daripada enam kerusi kepada 12 kerusi," kata Mustapa.

Kekuatan BN Kelantan itu turut disumbangkan melalui perkhidmatan kepada rakyat secara berterusan bukan sahaja oleh wakil rakyatnya, malah kesemua ketua UMNO bahagian yang bukan daripada kalangan wakil rakyat.

Selain mempertahankan lima kerusi Parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang, BN dilihat sedang memberi lebih tumpuan kepada tiga lagi kerusi Parlimen iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Kuala Krai selain memburu sasaran untuk menang 32 daripada 45 kerusi DUN berbanding 12 kerusi yang dimenangi pada PRU13.

Bersama-sama dengan 'Team Tok Pa' ialah Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) serta Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).

Pengalaman kelima-lima tokoh tersebut terutama veteran politik Tengku Razaleigh yang menyandang kerusi Parlimen Gua Musang sejak lebih 40 tahun lalu, memberi 'tonik' kepada BN Kelantan untuk kembali memerintah negeri ini.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid melihat kempen di Kelantan masih didominasi oleh PAS dan BN yang mempunyai jentera berpengalaman dan mantap.

Syed Arabi dari Jabatan Komunikasi UIAM juga melihat pendekatan PAS yang 'agak mesra' terhadap BN memberi keselesaan kedua-dua parti untuk fokus memperkenalkan calon dan manifesto masing-masing untuk dinilai para pengundi.

Beliau yang juga Ketua Projek Khas Nasional (Media, Demokrasi dan Sistem Elektoral) Majlis Profesor Negara ketika ditemui di sini berkata rakyat negeri ini semakin mengenali UMNO dan BN sebagai sebuah parti dan kerajaan pusat yang memberi khidmat berterusan terutama sejak berlakunya bah kuning 2014.

Tinjauan Bernama juga mendapati parti bertanding memilih berkempen secara berkelompok iaitu melibatkan kumpulan hadirin yang kecil selain melalui media sosial seperti Facebook dan Whatsapp, dan dianggarkan calon telah menemui antara 50 hingga 60 peratus daripada jumlah pengundi yang terdapat dalam kawasan masing-masing manakala penglibatan pemimpin utama hanya peringkat tempatan.

Setakat ini, perang bendera, poster dan replika lebih didominasi oleh PAS diikuti BN dan Pakatan Harapan.

-- BERNAMA