Calon BN Penampang mahu berbakti kepada rakyat




PENAMPANG, 3 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Penampang, Ceasar Mandela Malakun, amat gembira sekiranya beliau diberi peluang untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan ini.

Beliau berkata membesar dalam suasana kampung di Limbanak membentuk dirinya menjadi manusia yang peka serta memahami keperluan anggota masyarakat, terutama golongan belia.

Katanya, usia tidak menjadi halangan bagi anak muda untuk membawa perubahan besar di daerah Penampang kerana beliau mewakili dan bersuara untuk generasi muda hari ini.

"Kita perlu memberi fokus terhadap isu yang menjadi perhatian mereka (belia). Belia hari ini membesar bersama-sama kewujudan internet dan mereka lebih tahu serba-serbi tentang perkara berkaitan perkhidmatan dalam talian berbanding golongan lebih tua," katanya kepada Bernama.

Sejajar dengan itu, anggota jawatankuasa UPKO Penampang ini berikrar akan memajukan industri internet bagi meningkatkan keupayaan golongan belia di daerah berkenaan.

"Penampang boleh menjadi perintis bagi penubuhan hab IT di Sabah," katanya serta berjanji akan menambah baik kehidupan masyarakat KDM.

-- BERNAMA