'Dari Felda kepada Felda' fokus calon BN - Nazri Ngah




Oleh Siti Salwa Shaari

JERANTUT, 3 Mei (Bernama) -- 'Dari Felda kepada Felda' adalah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan fokus dan pendekatan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Datuk Nazri Ngah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar.

Nazri, 60, berkata isu berkaitan Felda mempunyai 'tempat paling besar dalam hatinya' kerana Felda Sungai Tekam di sini, merupakan tempat beliau 'bermain' selepas ayahnya menyertai Felda pada tahun 1969 bagi memberi kehidupan lebih baik kepada keluarga.

Ahli perniagaan berkata beliau bersekolah rendah di tanah rancangan berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar di sini.

"Sejak daripada Tingkatan Satu lagi, saya tidak pernah menikmati musim cuti sekolah. Memikirkan ayah hanya memperoleh elaun pendahuluan sara hidup sebanyak RM70 sementara menunggu hasil menyebabkan saya tekad bekerja (semasa cuti sekolah).

"Walaupun cuti hanya setakat dua minggu, saya tetap mengambil upah meracun lalang di Felda dengan upah RM1.80 sehari... itulah rutin saya sehingga Tingkatan Enam kerana bekerja pula di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak dengan upah RM3.80 sehari.

"Semasa bergelar guru selama tujuh tahun di awal kerjaya, saya mengambil upah pula menoreh getah sebagai pendapatan tambahan... rasanya saya sudah cukup tahu erti kesusahan daripada pengalaman lalu," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Felda Lepar Utara 2 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nazri yang pernah menjadi setiausaha sulit kanan kepada Wan Abdul Bakar Wan Mohammad yang pernah menjadi timbalan menteri di beberapa kementerian berkata, pengalaman itu menjadi 'asas kepada agenda' yang ingin dibawanya.

Katanya, sudah pasti sebagai anak Felda, beliau mahu memastikan kebajikan generasi baharu Felda terjamin khususnya dalam aspek perumahan dan pendapatan yang boleh dijana mereka tanpa perlu berhijrah ke bandar.

"Banyak program transformasi Felda dilakukan kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak... sayang jika peluang-peluang ini tidak dimanfaatkan generasi kedua, ketiga dan seterusnya hanya kerana mereka merasakan bekerja di luar itu lebih baik.

"... perjuangan juga perlu dilakukan secara berhemah. Golongan peneroka dan generasi baharu Felda perlu ditawan, namun dalam masa sama hati pengurusan dan pihak Felda sendiri juga perlu dijaga," katanya.

Bergelar calon muka baharu bukan bermaksud beliau tidak dikenali pengundi, kerana Nazri adalah anak jati Pulau Tawar dan telah aktif dalam politik Jerantut sejak tahun 1980 sebagai Anggota Jawatankuasa UMNO Felda Sungai Tekam sebelum beransur-ansur meningkat naik ke tahap lebih tinggi.

Nazri dilantik sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Jerantut sejak 2008 hingga kini, dan jika ditanya rahsianya bertahan begitu lama, bapa kepada empat orang anak itu akan menjawab prinsipnya adalah 'hormat kepada semua'.

"Walaupun bukan bergelar anggota Parlimen atau ADUN, saya telah lama turun padang. Rutin harian saya adalah selepas subuh hingga ke petang akan meronda di sekitar Jerantut bertemu kawan-kawan dan penduduk sekitar.

"Bersyukur sangat kerana keluarga faham minat saya dan tidak merungut dengan keadaan saya yang kurang berada di rumah," katanya.

Mengambil kira 'usia matang karier politiknya', Nazri boleh dianggap sebagai antara orang lama yang agak lewat diberikan peluang untuk bertanding, namun sedikitpun tidak ada rasa cemburu apabila melihat rakan-rakan seangkatan dipilih membawa nama BN pada pilihan raya umum yang lepas.

Sambil tersenyum, Nazri berkata beliau tidak berminat untuk melobi kerana sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas sekiranya mendapat kepercayaan rakyat.

"Mungkin sudah tersurat akhirnya nama saya lekat juga untuk Pulau Tawar. Saya anggap ini adalah takdir yang perlu saya jalani dan mungkin kepimpinan UMNO di peringkat pusat atau negeri melihat saya sudah sesuai untuk memegang amanah ini," katanya.

- BERNAMA