Perang media sosial, program touch point rakyat bakal dominasi kempen di Johor





Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 3 Mei (Bernama) -- Selepas enam hari kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung, jentera Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang dilihat semakin agresif dalam menyampaikan amanat sekali gus berusaha untuk memenangi hati pengundi menjelang hari pengundian yang semakin hampir.

Kalau pada hari-hari awalnya kelihatan usaha kedua-dua pihak lebih kepada cuba 'memujuk pimpinan dan anggota parti' berikutan ketidakpuasan hati terhadap beberapa calon, kini ia dilihat beransur reda, malahan fokus kini tertumpu kepada meraih undi.

Meskipun begitu, trend berbeza dapat dilihat pada kempen PRU14 berbanding PRU sebelumnya, dengan kekurangan perang poster di kedua-dua belah pihak serta kempen ceramah juga semakin berkurangan.

BN dan parti-parti pembangkang ternyata lebih kerap turun padang untuk program 'touch point' atau bertemu rakyat dengan kedua-duanya kelihatan sependapat dalam melihat kaedah itu sebagai lebih sesuai dan lebih berkesan untuk menyelami hati pengundi.

Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika melihat sambutan pengundi di beberapa program 'touch point' bersama rakyat sejak enam hari lepas.

Menurut beliau, dengan bertemu masyarakat sendiri, segala penerangan mengenai perancangan kerajaan negeri sama ada yang sudah dilaksanakan atau dalam perancangan boleh dijelaskan dengan baik.

"Saya juga dapat lihat sendiri sambutan daripada masyarakat dan pengundi sangat baik. Mereka bersedia untuk bukan sahaja memberi sokongan tetapi pilihan raya kali ini juga menyaksikan ramai yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dan ramai yang terang-terang memakai baju gambar calon ataupun BN," kata beliau ketika ditemui.

Masuk fasa kedua kempen, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Permas itu selain bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang, akan terus bertemu pengundi serta membawa risalah untuk menunjukkan kemajuan bagi Johor dan Pasir Gudang.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata fasa pertama kempen lebih tertumpu kepada memperkenalkan dirinya sebagai calon PH dan PKR kepada masyarakat Johor Bahru.

Turut berkongsi pendapat serupa, Ketua Cabang PKR Johor Bahru berusia 32 tahun itu berkata; "Masuk fasa kedua kempen kami lebih tertumpu kepada meyakinkan pengundi bahawa undi kepada PKR akan menambah baik atau memberi peluang kepada kami menyelesaikan beberapa isu yang menjadi kebimbangan masyarakat setempat."

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Md Akbal Abdullah berkata satu perkara yang menarik adalah, kempen itu juga menyaksikan kekurangan pengundi keluar dari rumah sebaliknya kunjungan bertali arus dari jentera parti-parti dan calon-calon yang bertanding.

"Selain itu, anak muda tidak akan keluar di jalan raya sehingga hari mengundi kerana mereka duduk di rumah dan akan lebih aktif di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

"Peranan media sosial dalam masa enam hari terakhir akan lebih dominan dan saya melihat parti mana yang dapat menguasai dunia maya, parti itu akan berjaya memenangi PRU. Sehingga sekarang, saya melihat dari Pontian sampai Melaka, sedikit sunyi, kempen ada tapi tidak seghairah PRU11 dan PRU12, begitu juga dengan kempen poster," tambah beliau lagi.

Menurut Md Akbal, kedua-dua pihak perlu melihat kepada 'gelombang orang muda' yang diyakini akan membawa pengaruh dan keputusan yang besar menjelang hari pengundian Rabu depan (9 Mei) nanti.

Memandangkan Johor menjadi tumpuan PH dalam misi mereka menawan Putrajaya, nama-nama besar seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kelihatan lebih kerap turun ke selatan tanah air dalam membantu calon-calon PH berkempen selepas hari penamaan calon.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah beberapa kali turun ke Johor beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen sekaligus menyampaikan amanat mereka kepada seluruh jentera BN.

-- BERNAMA