32 laporan polis diterima berkaitan pilihan raya di Pahang




KUANTAN, 3 Mei (Bernama)

Sebanyak 32 laporan polis dibuat di Pahang yang melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sejak 17 April lepas.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Umum Ke-14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ACP Yahaya Othman berkata lima daripada laporan yang diterima dibuat sebelum hari penamaan calon pada 28 April.

"Berdasarkan laporan polis yang diterima sehingga semalam (Rabu) kes paling banyak diterima membabitkan kes fitnah terhadap penama calon iaitu 12 kes.

"Laporan kes bendera dan poster dicabut serta laporan kes menurunkan kain rentang yang tidak mempunyai permit kelulusan daripada pihak majlis masing-masing membabitkan lima kes," menurutnya dalam kenyataan yang keluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lagi laporan dibuat berkaitan kes iklan parti disimbah cat, dan masing-masing satu laporan membabitkan kes membakar bendera, membakar kain rentang, bantahan terhadap penamaan calon, memotong bendera parti, dan tipu.

Selain itu turut diterima satu kes bilik gerakan diceroboh dan pencerobohan masuk ke tanah milik semasa membuat ceramah dan selisih faham.

Beliau berkata, suasana berkempen di seluruh Pahang bagaimanapun berjalan dalam keadaan terkawal dan pihaknya berterima kasih kepada parti politik yang akur dengan nasihat polis serta mematuhi peraturan kempen di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

-- BERNAMA