Tugas berat untuk Nurul Izzah di Permatang Pauh




Oleh Sharifah Nurliza Syed Mohammad

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Alam sekitar, pembangunan di lereng bukit dan kebajikan rakyat adalah antara isu-isu yang dibangkitkan dalam kempen calon-calon yang bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, baik pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Jika di seberang, kerusi Parlimen Permatang Pauh menjadi tumpuan dan dikatakan 'kerusi panas' di negeri ini, di bahagian pulau pula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bungah mendapat perhatian apabila isu-isu pembangunan lereng bukit disuarakan rakyat tempatan yang bimbangkan keselamatan mereka.

Tanjong Bungah, di bawah Parlimen Bukit Bendera sebelum ini diwakili calon DAP Teh Yee Chew yang sering membangkitkan isu-isu alam sekitar dan membidas kerajaan negeri pimpinan DAP yang didakwa membenarkan pembangunan di lereng-lereng bukit dan menjadi antara penyebab banjir sering berlaku di negeri pimpinan DAP itu.



Pada PRU14 ini, Teh yang merupakan wakil rakyat selama dua penggal di Tanjong Bungah mengambil tindakan keluar daripada DAP dan bertanding sebagai calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) di DUN Sungai Pinang, manakala penyandang kerusi Bukit Bendera Zairil Khir Johari diletakkan sebagai calon DAP di Tanjong Bungah dan berdepan Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow, Chua Cheong Wee (PRM) dan Lee Zheng Yong daripada Malaysia United Party (MU).

Zairil, dalam satu pertemuan dengan penduduk di Kondominium Miami Green yang turut dihadiri Teng 'diserang' dengan pelbagai pertanyaan dan kritikan daripada penduduk kawasan itu, dan Teng memberi jaminan jika BN diberi mandat di Pulau Pinang, semua pembangunan di lereng bukit akan dihentikan.

Bagi kerusi Permatang Pauh pula, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang pertama kali bertanding di kawasan itu dilihat menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan majoriti 8,841 undi yang diperoleh presiden parti Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya kecil 2015 di kawasan itu.

Jika tidak kerana faktor legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, Nurul Izzah yang sebelum ini bertanding di Lembah Pantai, dilihat asing di kawasan 'kubu kuat' PKR itu berbanding calon BN Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, yang merupakan 'órang tempatan'.

Pemerhati politik tempatan berkata Mohd Zaidi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh boleh diterima oleh majoriti penduduk Permatang Pauh dan telah lama memulakan gerak kerja membantu penduduk di kawasan panas itu.

Sepanjang lima hari tempoh berkempen ini, banyak kawasan yang sebelum ini tidak boleh 'dimasuki' BN, telah dikunjungi Mohd Zaidi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi oleh penduduk tempatan.

"Sebagai contoh Pasar Awam Sama Gagah adalah kawasan kuat PKR dan pada beberapa pilihan raya lepas, calon BN langsung tidak boleh jejak kaki ke situ, tapi kali ini Cikgu Zaidi boleh masuk dan diterima baik ketika menemui penduduk di pasar itu," kata pemerhati politik itu yang merupakan anak jati Permatang Pauh.



Selain itu, pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan iaitu antara Mohd Zaidi, Nurul Izzah dan calon PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden juga merupakan faktor penentu kepada keputusan di kawasan berkenaan.

Ini kerana dua kawasan DUN di bawah Parlimen itu iaitu Permatang Pasir dan Penanti adalah kawasan kuat PAS dan undi yang diperoleh oleh PKR sebelum ini banyak disumbangkan oleh penyokong PAS yang kali ini sudah pasti memberikan undi kepada calon mereka.

Bagaimanapun, katanya, faktor 'kesetiaan' kepada Anwar oleh masyarakat di situ menyukarkan calon BN untuk meraih kemenangan sekali gus mencipta sejarah di Permatang Pauh.

Seorang lagi pemerhati politik berpendapat secara keseluruhan BN boleh mengekalkan tiga kerusi Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau, yang dimenangi pada pilihan raya umum lepas.

Bagi Kepala Batas, penyandang kerusi itu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican boleh menang dengan tambahan majoriti memandangkan calon BN itu kini turut mendapat sokongan daripada masyarakat Cina di kawasan itu berikutan pembangunan dan peluang perniagaan yang dibawa.

"Tapi secara keseluruhan sukar untuk BN mendapat mandat memerintah semula Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA