Muhyiddin MB Johor? - Khaled Nordin




MUAR, 3 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan kenapa pakatan pembangkang tidak mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon menteri besar Johor jika dapat membentuk kerajaan di negeri berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Beliau berkata ini susulan tindakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang turut bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir selain mempertahankan kerusi Pparlimen Pagoh.

"Ini (persoalan) masih berlegar-legar di fikiran rakyat. Kalau pembangkang yang berjaya, siapa menteri besarnya? Masih tidak diberitahu kepada rakyat. Adakah Tan Sri Muhyiddin? Kalau ye, kenapa tidak diumum?

"Adakah ia bermakna pakatan pembangkang mengakui tidak boleh menang sebagai kerajaan pusat, atau jika menang pun Muhyiddin tiada tempat di sana? Kalau belah sana pun tolak dia, kenapa belah sini (pengundi DUN Bukit Gambir) nak terima dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baharu di Kampung Sengkang, Bukit Gambir dekat sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang bertanding di kawasan Parlimen Pasir Gudang dan mempertahankan DUN Permas berkata melalui momentum sokongan rakyat setakat ini, Barisan Nasional (BN) yakin akan terus diberi mandat di negeri Johor dan Muhyiddin tidak akan menjadi menteri besar.

Mohamed Khaled yang merupakan pengerusi BN Johor mengingatkan pengundi DUN Gambir supaya memilih wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah rakyat sekali gus membangunkan kawasan itu dengan lebih pesat lagi.

Katanya, selaras dengan pembangunan negeri Johor, semua kawasan termasuk DUN Gambir akan terus menerima manfaat pembangunan secara seimbang.

"Projek yang dijalankan di satu-satu kawasan ialah hasil kerja wakil rakyat kerana mereka lebih tahu keadaan masyarakat setempat. Jadi pilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat pada setiap masa," katanya.

DUN Gambir akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandangnya Datuk M. Asojan daripada BN, Muhyiddin (PKR-PPBM) dan Datuk Mahfodz Mohamed (PAS).

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata rizab kerajaan negeri kini berada pada kedudukan amat baik dan Bajet Johor 2018 pula merupakan bajet lebihan yang membolehkan banyak projek boleh dilaksanakan untuk faedah rakyat.

"Ini bermakna selagi BN diberi mandat, keperluan rakyat Johor akan dipenuhi kerana ada duit, kita (BN) boleh tadbir negeri dengan baik, sebab itu kita tidak teragak-agak memperuntukkan projek jambatan bernilai RM16 juta di DUN Gambir," katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled merasmikan sebuah daripada empat jambatan baharu di DUN Gambir bagi menggantikan empat jambatan sempit.

-- BERNAMA