Nik Omar enggan ulas agenda Hudud




SHAH ALAM, 3 Mei (Bernama) -- Anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz enggan mengulas sama ada akan meneruskan agenda hudud seperti yang diperjuangkan bapanya jika dipilih sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Kelantan.

Beliau yang keluar daripada PAS dan kini menjadi calon Amanah yang bertanding atas tiket PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berkata, isu berkenaan hanya akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Kita tengok nanti macam mana," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyertai program anjuran calon-calon PH bagi kerusi Parlimen Shah Alam, DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga di Sekyen 8, di sini, hari ini.

Agenda hudud sebelum ini diperjuangkan oleh bapanya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang bersama PAS sehingga jawatan terakhirnya iaitu Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun, perjuangan PAS yang diteruskan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengangkat agenda hudud mendapat tentangan daripada rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat ketika itu iaitu DAP sehingga kerjasama politik antara mereka terlerai pada 2015.

Mengulas PRU14, Nik Omar berkata pemilihan kali ini bukan untuk memilih parti mana yang mendukung agama Islam tetapi lebih menjurus kepada parti mana yang lebih layak mentadbir negara.

"Nik Aziz dulu pernah sebut, kita Melayu, Cina ke, India ke, semuanya adik-beradik kerana semua datang daripada Nabi Adam. Yang membezakan kita mungkin keturunan atau kabilah," katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan hadirin program tentang restu ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak terhadap perjuangan baharunya bersama Pakatan Harapan, beliau berkata isu itu tidak timbul kerana ia bukan perkara jahat.

Mengulas kenyataan keluarga terdekatnya pula yang mengatakan penyertaannya ke dalam Amanah ibarat mengkhianati legasi bapanya, Nik Omar berkata beliau yakin dengan pendiriannya itu.

"Kita ini walau abang tua, adik buat salah macam mana pun, abang tetap sayang. Adik juga kena reti macam mana nak hormat abang dia.

"Sebagaimana saya doakan kejayaan adik saya (calon PAS Parlimen Bachok, Nik Abduh) saya doakan juga kejayaan sepupu saya (calon PAS DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani) dan calon PKR DUN Kota Anggerik (Najwan Halimi).

-- BERNAMA