Isu parit, sampah, pasar misi utama Asyraf Wajdi jika menang PRU14
PASIR PUTEH, 3 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perparitan, pengurusan sampah dan pasar yang dihadapi penduduk sekitar bandar Pasir Puteh sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
Beliau berkata masalah perparitan menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan setiap tahun amat meresahkan penduduk dan perlu diatasi segera.
"Begitu juga dengan masalah pengurusan sampah, pihak berkuasa tempatan gagal melaksanakan pengurusan sampah mengikut jadual sehingga menyebabkan berlakunya longgokan sampah terbiar di banyak lokasi sekitar bandar ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pasir Puteh Riders di sini, hari ini.
Beliau juga akan membantu peniaga yang telah berpindah ke pasar baharu Pasar Siti Hajar di sini supaya mereka dapat berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan teratur.
Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Datuk Kamaruddin Md Nor (PKR-PPBM).
-- BERNAMA