Jangan biarkan Dr Mahathir sekali lagi lukai hati masyarakat Cina - Liow




KAMPAR, 3 Mei (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad telah melukai hati masyarakat Cina sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Di bawah pentadbirannya, beliau berkata Dr Mahathir telah mencetuskan banyak isu termasuk menggendalakan pendidikan Cina dan melaksanakan operasi menahan lawan-lawan politiknya di seluruh negara menerusi 'Ops Lalang'.

"(Di bawah pentadbirannya) Dr Mahathir telah menimbulkan banyak kesulitan kepada masyarakat Cina? beliau telah melukai hati masyarakat Cina," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama persatuan Cina di Kampar hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Kampar Datuk Lee Chee Leong yang juga naib presiden MCA vice-president; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji, Daniel Wa Wai How dan DUN Malim Mawar, Chang Gwo Chyang.

Disebalik dakwaan DAP untuk 'menyelamatkan' Malaysia, Liow berkata rakyat perlu menyelamatkan negara ini dengan menghalang Dr Mahathir daripada kembali berkuasa.

Beliau menggesa pengundi Cina untuk tidak terperdaya dengan 'harapan palsu' yang diberikan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pakatan pembangkang telah menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14 pada 9 Mei ini.

Sementara itu, selepas enam hari berkempen, presiden MCA itu mendapati parti itu menerima maklum balas baik di banyak kawasan termasuk Kampar.

-- BERNAMA