PRU14: Ramzi tekad bawa perubahan di Kuala Krai




Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

KUALA KRAI, 3 Mei (Bernama) -- Meskipun perlu menyusuri sungai dengan bot selama 45 minit serta mendaki lebih 50 anak tangga untuk naik ke tebing, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman masih mampu tersenyum apabila disapa penduduk di Kampung Bahagia di sini.

Pendekatan 'jupo mato' (bertemu) dengan penduduk merupakan strategi yang diterapkan Ramzi dalam menawan hati pengundi dengan mereka yang berada di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan.

Ini membuatkan beliau tekad untuk ke Kampung Bahagia yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuala Krai dan pengangkutan utama ke kampung itu adalah menggunakan sampan atau bot penambang menyusuri Sungai Galas.

Setelah tiba di kampung itu, Ramzi, 60, kelihatan sedikit mengah apabila perlu mendaki tangga untuk naik ke tebing sungai namun berbekalkan semangat kental, beliau tetap meneruskan perjalanan demi bertemu penduduk.

Semangat ditunjukkan Ramzi yang berkemeja pink dan berseluar kelabu memberi mesej jelas kepada penduduk yang beliau mampu membawa perubahan di Kuala Krai sekiranya diberi peluang.

Ramzi yang merupakan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong yang kini, beralih bertanding kerusi Parlimen Kuala Krai berikrar untuk mempergiatkan agenda pembangunan bagi mengangkat Kuala Krai ke tahap lebih tinggi.

"Sekarang kita melihat penerimaan yang positif daripada penduduk (di Kuala Krai), mereka boleh menerima BN namun kita tidak boleh leka," katanya kepada Bernama.

Beliau bertekad mahu BN menang di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini walau berdepan cabaran daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS) dan Dr Ir Mohd Yazid Abdullah (PKR-Amanah).

"Sekarang fokus kami bukan menyerang pihak lawan tetapi lebih kepada memberitahu rakyat mengenai manifesto serta agenda pembangunan yang dibawa kerajaan sedia ada," katanya.

Seorang penduduk, Muhamad Deris, 64, berkata beliau yakin BN mampu mencapai kemenangan di Kuala Krai berdasarkan pencapaian Ramzi yang cemerlang di DUN Dabong.



"Biar BN memerintah kali ini, lihat di Kuala Krai banyak pembangunan meskipun berada di bawah pembangkang.

"Ini jelas menunjukkan yang kerajaan tidak mengabaikan keperluan penduduk di kawasan ini," katanya.

Pada PRU13, calon BN Tuan Aziz Tuan Hamat @ Tuan Mat tewas tipis kepada Mohd Hatta Md Ramli dari PAS (kini sertai Amanah) yang memperoleh 27,919 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan 70,348 pemilih berdaftar bagi Parlimen Kuala Krai untuk PRU14.

-- BERNAMA