Presiden PKR dakwa PAS cuba pecah undi




SUNGAI SIPUT, 3 Mei (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa tindakan PAS meletakkan calon di kawasan bukan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertujuan untuk memecahkan undil.

Beliau berkata tindakan PAS itu akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Sebagai contohnya di Perak, katanya PAS bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan yang pengundi Melayu 38 peratus daripada keseluruhan 66,487 pengundi Cina (42 peratus), manakala pengundi India (19 peratus).

"Manakala di kawasan Parlimen Sungai Siput, PAS juga meletakkan calonnya yang mana pengundi Melayu hanya 33 peratus (daripada 55,002 pengundi), kaum Cina (39 peratus) dan India 21 peratus.

"Ini semua adakah untuk memecahkan undi Melayu bagi memenangkan BN?," katanya dalam sidang media pada program ?Santai Petang Bersama Kak Wan' di Felda Lasah di sini, hari ini.

Parlimen Teluk Intan akan menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan calon BN selaku penyandang Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga presiden Gerakan, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang bertanding atas tiket PKR dan calon PAS Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

Parlimen Sungai Siput pula membabitkan pertembungan empat penjuru antara calon PKR S.Kesavan, Ishak Ibrahim (PAS), Datuk Seri S. K. Devamany (BN-MIC) dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM) yang juga penyandang kerusi itu.

-- BERNAMA