BN tidak gentar kepada Warisan - Musa
PITAS, 3 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak perlu menggunakan taktik remeh dan kebudak-budakkan untuk meraih sokongan bagi kempen dan meningkatkan peluangnya untuk menjadi ketua Menteri Sabah.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah merangkap Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliaui sendiri (Musa) takut kehilangan Sabah dalam pilihan raya adalah kebudak-budakkan dan semata-mata taktik untuk menutup kelemahannya.
"Hanya pemimpin yang berasa terancam akan menggunakan naratif yang tidak matang ini," kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran komunal di sini hari ini.
Beliau berkata hakikat bahawa kekerapan Najib melawat Sabah sebelum pilihan raya menunjukkan bahawa Sabah berada dekat dengan hatinya.
"Najib lebih kerap melawat Sabah lebih daripada mana-mana Perdan Menteri sebelumnya..lama sebelum waktu pilihan raya dan lama sebelum Warisan telah ditubuhkan. Beliau bukan ahli politik bermusim," kata beliau.
Musa berkata tidak ada apa-apa yang aneh mengenai kepimpinan Barisan Nasional melawat ke sebuah negeri lebih daripada sekali semasa kempennya terutama di negeri yang luas seperti Sabah yang keluasan daerah Kinabatangan sahaja sebesar Pahang, kata beliau.
Beliau berkata Shafie hanya cuba untuk mengalihkan perhatian dari isu semakin ramai anggota Warisan keluar dari parti kerana tidak puas hati dengan tiada kesepakatan dalam parti dan menghormati hasrat mereka.
"Awal hari ini, 16 cawangan di Kudat terdiri daripada 886 anggota keluar dari Warisan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti. Sebelum itu, ramai anggota meninggalkan parti di Kimanis dan Batu Sapi," he said.
Musa berkata kempen Shafie penuh dengan retorik, janji kosong dan cadangan yang kemungkinan tidak dapat dilaksanakan.
"Apabila anda mahu memenangi hati rakyat, anda akan menjanjikan bulan dan bintang. Itulah pembangkang. Itulah Shafie Apdal," katanya.
-- BERNAMA