Wanita UMNO main peranan penting bantu calon kerusi Batu Maung




GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Sokongan dan bantuan Wanita UMNO tempatan berjaya meningkatkan imej calon Barisan Nasional (BN-UMNO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Maung Datuk Liakat Ali Mohamed Ali, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Dalam sesi tinjauan mesra di Kampung Blok J di Batu Maung di sini hari ini, Liakat Ali diiring Ketua Wanita UMNO kawasan itu, Hasiah Mat Isa, yang mesra dalam kalangan penduduk tempatan dengan panggilan Mak Su.

Hasiah mengiringi calon berkenaan untuk mengunjungi kira-kira 50 rumah pemilih, tanpa mengira parti yang mereka anggotai.

Liakat Ali berkata walaupun BN kalah kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya umum 2008, anggota akar umbi UMNO, terutama daripada sayap wanita parti itu, tidak pernah berhenti daripada berkhidmat kepada orang ramai.

"Kami benar-benar mengambil berat tentang kebajikan orang ramai dan akan terus berkhidmat kepada mereka, tanpa mengira keputusannya nanti," kata beliau.

Liakat Ali, antara lain berjanji, sekiranya memenangi kerusi itu, beliau akan memberi fokus terhadap keselamatan trafik, kebajikan dan projek tebatan banjir di kawasan berkenaan.

Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru melibatkan calon PKR, Datuk Abdul Halim Hussain dan calon PAS, Saiful Lizan Md Yusof.

-- BERNAMA