Jangan gunakan agama untuk tarik pengundi - Ahmad Said




KEMAMAN 3 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya tidak terpedaya dengan kempen parti politik yang memperalatkan agama untuk meraih undi.

Ahmad, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal buat penggal keenam sejak 1990, berkata parti politik sepatutnya mempunyai tanggungjawab dan tidak menjadikan agama semata-mata untuk menarik sokongan.

"Parti untuk kita berpolitik, agama itu agama... janganlah sampai kata jika pangkah parti tersebut akan masuk syurga atau sebagainya. Jangan peralatkan agama kerana benda begini tidak munasabah.

"Dulu buat dah, kali ini buat pulak...ini menggambarkan yang parti tersebut dah terdesak dan terpaksa guna isu yang lama dan kitar semula untuk dapatkan sokongan", katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Muafakat Peladang di Dewan Terbuka Bukit Anak Dara, di sini hari ini.

Tanpa menamakan parti tersebut, kenyataannya jelas merujuk kepada PAS yang bertanding pada PRU14.



Menurut Ahmad, cadangan parti pembangkang yang menawarkan cuti bersalin selama dua tahun kepada penjawat awam juga adalah sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.

"Jika seorang pekerja diberi cuti selama dua tahun setiap kali bersalin, macam mana pula dengan pekerja yang bersalin lima orang anak dan diberi cuti bersalin selama 10 tahun.

"Bagi tempoh bercuti tersebut siapa yang hendak bayar gaji dan juga pencen, dan tawaran ini sangat tidak relevan," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata berkata cara berkempen yang digunakan pada masa kini adalah berbeza dengan PRU dahulu.

Dahulu semua akan turun memberi ceramah tetapi kini caranya telah berubah yang mana pemimpin perlu menjaga hubungan baik dengan rakyat bagi mendapat sokongan, katanya.

"Jika hubungan dengan rakyat baik dan mereka tahu macam mana rekod dan reputasi kita sebelum ini...bukan hanya turun padang untuk berjumpa rakyat semasa pilihan raya sahaja," katanya.

Pada PRU13, Ahmad, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, menang kerusi DUN Kijal apabila mengalahkan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 4,204 undi.

Pada PRU14, 9 Mei ini, beliau akan menentang Hazri sekali lagi serta calon PKR, Wan Marzuki Wan Sembok.

-- BERNAMA