Pertandingan tiga penjuru bukan laluan mudah parti bertanding




Oleh Nur Adila Abdul Wahab

ALOR SETAR, 3 Mei (Bernama) -- Penamaan calon yang berlangsung Sabtu lepas menyaksikan penguasaan pertarungan tiga penjuru di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan penyertaan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Sebanyak 13 kerusi Parlimen daripada 15 kerusi dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 kerusi memperlihatkan pertembungan tiga penjuru yang didominasi calon-calon daripada tiga parti politik iaitu BN, PH dan PAS.

Berbeza dengan PRU13, pertandingan satu lawan satu dilihat mendominasi pilihan raya umum di negeri itu membabitkan 10 kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN dengan penyertaan calon BN dan PH.

Daripada 10 kerusi Parlimen itu, BN memenangi lapan kerusi dan PH (ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat dengan gabungan parti DAP, PKR dan PAS) menang dua kerusi Parlimen masing-masing diwakili PAS dan PKR, manakala kerusi DUN pula BN memenangi 16 kerusi dan PH tiga kerusi yang kesemuanya dimenangi oleh PAS.

Pada PRU13, kerusi-kerusi yang ditandingi PH menyaksikan PAS mendominasi kerusi Parlimen dan DUN bagi gabungan pembangkang itu dengan lapan kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN manakala PKR (tujuh Parlimen, 10 DUN) dan DAP (dua DUN).



Secara keseluruhannya, pada PRU13 itu memperlihatkan kebanyakan kerusi di Kedah membabitkan pertembungan antara calon BN dan PAS yang rata-ratanya dimenangi oleh BN.

Berdasarkan kepada senario itu, ramai yang berpendapat pertandingan tiga penjuru di Kedah pada PRU14 memihak kepada BN apabila PAS meletakkan calonnya di kesemua kerusi Parlimen dan DUN manakala kerusi-kerusi yang ditandingi PAS ketika bersama PH pada PRU13 pula kebanyakannya diisi oleh calon-calon PPBM dan Amanah mewakili PH pada PRU14.

Bagaimanapun, situasi itu tidaklah memberi laluan mudah kepada BN untuk sekali lagi mendapat mandat mentadbir negeri Jelapang padi itu pada PRU14 kerana kemampuan parti pembangkang tidak boleh dinafikan dan dipandang enteng termasuk dengan penampilan semula bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di Parlimen Langkawi mewakili PH.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata walaupun ramai menjangkakan senario itu memberi kelebihan kepada BN, namun beliau berkata BN perlu berhati-hati dengan melihat parti mana yang akan mereka hadapi di setiap kawasan.

\"Peluang BN banyak bergantung kepada yang pertama tahap sokongan penyokong setia parti itu seperti tidak melakukan undi protes. Kedua pertembungan undi BN sama ada dengan PPBM atau PAS. Pertembungan dengan PPBM mungkin akan melihat perpecahan sokongan pengundi tegar UMNO.

"Pertembungan dengan PAS pula mungkin akan memberi sedikit kelebihan. Jika dikatakan pertandingan tiga penjuru itu berlaku di antara ketiga-tiga parti, BN, PPBM dan PAS kita harus melihat komposisi pengundi bukan Melayu pula. Trend itu juga boleh mempengaruhi sokongan kepada mana-mana calon," katanya kepada Bernama.

Menyifatkan Kedah sebagai antara negeri 'panas' pada pilihan raya umum kali ini, Sivamurugan berkata persaingan pada kali ini juga dilihat sengit dengan kehadiran dua tokoh besar iaitu Pengerusi PH Dr Mahathir dan anaknya yang juga Naib Presiden PH Datuk Seri Mukhriz yang tidak boleh dinafikan pengaruh mereka di negeri itu.

"Yang penting calon BN harus didukungi dengan jentera yang mantap, penyokong tegar tidak berpaling dan tiada sabotaj daripada anggota parti," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru di Kedah, namun pertandingan sebenar yang menjadi tumpuan adalah membabitkan parti BN dan PH manakala kehadiran blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang diwujudkan oleh PAS tidak memberi saingan yang kuat kepada BN.

"Saya nampak walaupun tiga penjuru tapi kata orang perlawanan itu sebenarnya ditumpukan kepada dua sahaja BN dan PH. Kedua-dua parti sama kuat. PAS susah nak menang. PAS mengalami konflik ramai anggota yang keluar parti dan menyertai Amanah. Kalau tengok mood rakyat, BN bakal berdepan perlawanan yang getir antara BN dan PH. Bergantung kepada rakyat untuk menentukan pada 9 Mei ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata rakyat di negeri itu sukar meramalkan parti mana yang akan memenangi pilihan raya umum kali ini.

Seorang peniaga Ahmad Tarmizi Kadir, 56, berkata sukar untuk menjangkakan parti mana yang akan menang kerana setiap parti sama-sama kuat dan mempunyai peluang untuk menang.

"Susah nak cakap, peluang 50-50. BN, PH dan PAS perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka," katanya.

Pengundi di Parlimen Pokok Sena, Othman Shaari, 65, pula berkata faktor calon menjadi antara faktor penentu kepada kemenangan sesebuah parti itu.

Beliau berkata rakyat mahukan seorang calon yang sentiasa turun padang dan mampu berkhidmat untuk rakyat di kawasan yang ditandingi.

Pada PRU13, BN memenangi 10 kerusi daripada 15 Parlimen, PKR (empat) dan PAS (satu, kini PAS tiada kerusi selepas penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyertai Amanah). Bagi kerusi DUN pula, BN menguasai 21 kerusi (kini tinggal 20 kerusi selepas Mukhriz menyertai PPBM), PAS (sembilan), PKR (empat) dan DAP (dua).

-- BERNAMA